PERBICARAAN ketua kumpulan kartel dadah Mexico, Joaquin “El Chapo” Guzman akan bermula di Amerika Syarikat tidak lama lagi, selepas juri untuk perbicaraan selesai dipilih.
Tujuh orang wanita dan lima lelaki dipilih untuk menentukan sama ada Guzman bersalah dalam 11 dakwaan berkaitan pengubahan wang, pengedaran dadah dan senjata api.
Semua 12 orang juri ini tidak didedahkan identiti mereka dan akan dikawal ketat semasa masuk dan keluar mahkamah oleh Marshal AS.
Beberapa orang yang dipilih telah digugurkan kerana maklumat berkaitan mereka telah tersebar termasuk lokasi kediaman mereka yang disebut semasa proses pemilihan juri.
Ada yang ditolak daripada menganggotai juri kerana didapati meminati Guzman dan pernah cuba meminta tandatangan raja dadah itu.
Para juri dikawal ketat sepanjang proses perbicaraan ini kerana Guzman diketahui pernah mengugut dan mengarahkan pembunuhan saksi penting, dakwaan yang ditolak oleh pasukan pembelaannya.
Jika disabit bersalah, ketua kartel Sinaloa yang terkenal itu boleh dihukum penjara seumur hidup.
Guzmam sebelum ini melarikan diri dari penjara sebanyak dua kali di Mexico.
Beliau akhirnya diekstradisi ke AS pada Januari 2017.
Perbicaraannya di sebuah mahkamah persekutuan di Brooklyn, New York dijadual bermula 13 November dan mungkin berjalan hingga empat bulan.
Pendakwa AS berkata kartel Sinaloa di bawah Guzman telah menyeludup heroin, methamphetamine, kokain dan marijuana ke AS.
Peguam Guzman dikatakan telah memberi gambaran bercadang membuktikan yang beliau hanya berperanan kecil dalam kartel itu dan tidak seperti digambarkan selama ini. – BBC