MUMBAI – Seorang juruterbang kanan yang juga pengarah operasi Air India dilarang menerbangkan pesawat selepas gagal dua ujian mengesan kandungan alkohol dalam badan
(breathalyzer) semalam sebelum penerbangan ke London dari New Delhi.
Menurut Air India, ia kali kedua Arvind Kathpalia yang juga salah seorang ahli lembaga pengarah syarikat penerbangan itu berdepan masalah membabitkan ujian alkohol.
Pada 2007, beliau pernah digantung kerja selama tiga bulan kerana enggan melakukan ujian breathalyzer.
Kathpalia memberitahu Reuters, dia akan mencabar keputusan itu dan mendakwa ia ada kaitan dengan persengketaan dalaman membabitkan syarikat penerbangan milik kerajaan itu.
Air India enggan mengulas lanjut artikel berkenaan.
Kathpalia gagal dua ujian breathalyzer semalam dan diisytiharkan tidak layak untuk menerbangkan pesawat, menurut laporan ujian perubatan pra-penerbangan untuk alkohol, yang dimuat naik di laman web India Today. – Reuters/BH ONLINE