IPOH – Keadaan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Putra Heights di Subang Jaya hampir pulih sepenuhnya susulan rusuhan yang berlaku awal Isnin dan Selasa, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.
Katanya walaupun masih terdapat individu yang berkumpul di sekitar kawasan berkenaan tengah hari semalam, tiada insiden tidak diingini berlaku.
“Polis Diraja Malaysia sedang berusaha memulihkan keadaan dan pihak yang terlibat dalam isu ini diharap dapat mengawal emosi dan sentimen masing-masing,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan serah terima tugas di antara Ketua Polis Perak Datuk Hasnan Hassan dan Timbalannya Datuk Razarudin Husain@Abd Rasid yang akan memangku jawatan itu, di sini hari ini.
Mohamad Fuzi juga mengingatkan semua pihak agar berhenti mengeluarkan kenyataan yang boleh menimbulkan semula ketegangan bagi memastikan usaha polis memulihkan keadaan serta memburu mereka yang terlibat tidak terjejas.
Mengenai jumlah tangkapan mereka yang terlibat dalam insiden itu setakat ini, Mohamad Fuzi berkata setakat pagi tadi seramai 42 ditahan bagi membantu siasatan.
Kejadian rusuhan yangn berlaku di perkarangan kuil pada 2.30 pagi Isnin serta kawasan pusat beli-belah One City pada hari berikutnya turut menyaksikan seorang anggota bomba cedera parah. – BERNAMA