PETALING JAYA – Penjagaan kebersihan diri akan dijadikan sebagai kluster kesembilan Dasar Komuniti Negara yang akan dilancarkan pada bulan depan, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin hari ini.
Beliau berkata kluster baharu itu bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan penjagaan kebersihan diri khususnya golongan kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) yang tinggal di Projek Perumahan Rakyat (PPR).
Katanya, ia sekali gus dapat membentuk generasi yang mempunyai personaliti yang positif dan lebih berkeyakinan tinggi dalam pergaulan dan komunikasi.
“Kluster yang ada pada masa ini adalah berbentuk fizikal, akademik, keselamatan serta pendidikan dan ia tidak termasuk ‘kebersihan diri’. Kementerian turut akan mengadakan jerayawara pada Januari depan.
Ini adalah elemen yang akan dimasukkan menjadi kluster kesembilan iaitu mempertingkatkan kebersihan diri dalam kalangan penduduk PPR”, katanya selepas merasmikan majlis agihan ‘Kotak Cantik’ Siri 2 kepada belia B40 berusia sehingga 17 tahun di PPR Lembah Subang 1, di sini hari ini.
Pemberian 600 Kotak Cantik yang mengandungi pelbagai produk asas kebersihan diri seperti berus dan ubat gigi, syampu serta sabun itu merupakan inisiatif 45 pelajar Kolej Antarabangsa INTI, Subang.
Dasar Komuniti Negara yang akan dilancarkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) adalah usaha kerajaan untuk mewujudkan masyarakat yang lestari antaranya bagi menangani masalah komuniti setempat khususnya di kawasan perumahan kos rendah. – BERNAMA