LIMA – Bekas calon presiden Peru, Keiko Fujimori menerima perintah tahanan selama 36 bulan kerana dituduh terlibat dengan jenayah pengubahan wang haram.
Seorang hakim sebuah mahkamah siasatan, Richard Concepcion Carhuancho mengeluarkan perintah itu pada Rabu selepas kes didengar selama tujuh hari.
Hakim memutuskan perintahan tahanan itu kerana mendapati perbuatan Fujimori menimbulkan risiko selain untuk menghalang gangguan terhadap siasatan.
Terdahulu, majistret menegaskan terdapat perbuatan mencurigakan yang dilakukan pemimpin parti Fuerza Popular itu.
Ia berdasarkan kenyataan saksi yang menunjukkan ada pihak dalam parti tersebut yang membuat keputusan di luar struktur parti.
Tambahan pula Keiko Fujimori, Pier Figari, Ana Herz dan penasihat Vicente Silva Checa -an mempunyai hubungan dengan Vladimiro Montesinos.
Montesinos adalah ketua perkhidmatan perisikan Peru di bawah bekas Presiden Alberto Fujimori (1990-2000), bapa Keiko.
Pada 2000, video sulit dirakam Montesinos didedahkan, menunjukkan beliau memberi suapan kepada anggota parlimen yang dipilih untuk keluar parti mereka dan menyertai Kongres Fujimori. Beliau kemudian dihukum penjara sejak 2001.
Selain itu, Hakim Concepcion Carhuancho mengesahkan terdapat bukti Odebrecht memberi rasuah US$1 juta kepada Keiko untuk perbelanjaan berkempen pada 2011, melalui penderma palsu dan kegiatan yang tidak wajar.- BERNAMA