MELAKA – Anggota Parti Amanah Negara (Amanah) diseru supaya mengekalkan sifat peduli rakyat yang utuh ketika menjadi pembangkang sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), walaupun kini sudah menjadi kerajaan, kata Pengerusi Amanah Melaka Adly Zahari.
Ketua Menteri Melaka itu berkata anggota Amanah perlu mengambil iktibar daripada apa yang terjadi kepada Barisan Nasional (BN) pada PRU14 apabila parti itu dibuai dengan jawatan dan kedudukan sehingga lupa amanah serta tanggungjawab mereka kepada rakyat.
“Kenapa tidak terus lakukan (peduli rakyat) selepas jadi kerajaan, dulu kita kutip baju untuk orang memerlukan, jual gula murah untuk rakyat, kita mesti progresif, jadi kepedulian (kepada rakyat) itu mesti ada.
“Dilantik MPKK (Majlis Pengurusan Komuniti Kampung) pergi lah setiap rumah kenalkan diri tiada masalah, supaya rakyat tahu apa itu MPKK dan bagaimana kita boleh tolong rakyat,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Amanah Negeri Melaka di Ayer Keroh di sini hari ini.
Konvensyen itu dirasmikan Naib Presiden Amanah Hasanuddin Mohd Yunos yang juga Anggota Parlimen Hulu Langat dan dihadiri kira-kira 1,000 anggota parti itu.
Adly berkata dalam sistem demokrasi anggota Amanah juga perlu faham rakyat punya kuasa untuk menukar kerajaan seperti apa berlaku pada PRU14 sekiranya gagal melaksana amanah kepada rakyat.
“Cabaran sudah semestinya banyak tetapi kita mesti terus peduli rakyat, rakyat (pada PRU14) sudah tukar UMNO BN, mereka boleh tukar PH (Pakatan Harapan) kecuali kita peduli rakyat,” katanya.
Sementara itu, Hasanuddin ketika ditemui pemberita selepas merasmikan konvensyen itu berkata anggota Amanah, sama ada berjawatan atau tidak, perlu memainkan peranan bekerja untuk membantu rakyat dan parti.
“Kita PH kini adalah kerajaan, jadi jangan tunggu dapat jawatan baru kita hendak bekerja, anggota kita perlu sebegitu,” katanya. – BERNAMA