SUBANG JAYA – Jumlah tangkapan susulan kekecohan di kuil Sri Maha Mariamman USJ 25, Putra Heights meningkat kepada 30 individu berbanding 21 orang semalam, kata Ketua Polis Selangor Datuk Mazlan Mansor.
Beliau berkata tangkapan terbaru iaitu sembilan individu, dibuat dalam operasi di sekitar Selangor semalam sehingga hari ini.
“Individu yang ditahan sebelum ini direman sehingga Sabtu manakala mereka yang baru ditahan akan direman esok untuk siasatan lanjut.
“Polis akan membuat beberapa lagi tangkapan dalam masa terdekat berhubung kes ini,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata beberapa lagi individu akan dipanggil untuk diambil keterangan termasuk pemaju One City Development Sdn Bhd (One City).
“Siasatan masih berjalan dan polis sedang mendapatkan saksi-saksi dalam kes ini, apa sahaja versi daripada saksi kejadian yang boleh bantu siasatan kita akan panggil,” katanya.
Ditanya dakwaan anggota bomba yang cedera dalam rusuhan itu bukannya dipukul sebaliknya dilanggar jentera, Mazlan berkata pihaknya sedang menyiasat perkara itu.
“Polis sedang kumpul laporan seperti kereta dipecah dan lain-lain dalam kejadian rusuhan itu,” katanya sambil menambah pihaknya akan mengesan semua dalang dalam kes ini.
Dalam pada itu, beliau berkata 500 anggota polis termasuk anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) akan ditempatkan di sekitar kuil serta beberapa lokasi malam ini.
“Beberapa jalan juga masih ditutup untuk menjaga ketenteraman awam, kita (polis) harap masyarakat faham akan perkara ini.,” katanya.