KUALA LUMPUR – Kementerian Komunikasi dan Multimedia akan membangunkan platform data terbuka bagi menyediakan akses kepada data kerajaan sambil menggalakkan industri berkongsi data mereka.
Berucap merasmikan Forum Transformasi Digital Asia di sini hari ini, Menterinya Gobind Singh Deo berkata inisiatif baharu itu akan dibangunkan secara bersama dengan Unit pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia serta Jabatan Perlindungan Data Peribadi.
Mengulas perkara itu kepada pemberita kemudian, beliau berkata kementerian dan agensi-agensi di bawahnya masih mengkaji proses dan mekanisme bagi tujuan tersebut.
“Saya perlu membentangkannya kepada kabinet pada suku pertama tahun depan. Jika kabinet luluskan, kita boleh mula mengusahakannya. Perkara ini ambil masa. Saya rasa jika kita lihat di tempat lain sudah ada negara yang memulakannya,” kata Gobind.
Menurutnya masyarakat dapat mengakses banyak maklumat di negara terbabit menerusi kerajaan digital dan ia juga dapat membantu industri serta sektor komersil.
Gobind berkata data merupakan ‘bahan api’ digital ekonomi, justeru kementeriannya bersama-sama agensi lain akan bekerja keras memastikan mereka memiliki platform dan pemboleh yang sesuai seperti ID Digital, data terbuka dan APIs (Antara Muka Pengaturcaraan Aplikasi) terbuka.
“Sudah banyak kali saya katakan, data mengubah kehidupan dan data menyelamatkan nyawa. Di Jepun, data sumber khalayak yang dikumpulkan daripada ratusan sensor di seluruh negara membantu masyarakat memantau radiasi daripada loji nuklear Fukushima bagi mengurangkan risiko kepada kualiti makanan.
“Fikirkan manfaatnya kepada projek penyelidikan kanser kita jika ada data besar yang terbuka, fikir tentang apa yang ia boleh lakukan kepada masalah trafik jika kita ada data lalu lintas,” katanya.
Gobind berharap inisiatif baharu itu akan merangsang komuniti teknologi tempatan untuk membangunkan penyelesaian yang boleh membawa perubahan kepada rakyat Malaysia.
“Biar penyelesaian yang anda bangunkan mengubah kehidupan dan boleh menyelamatkan nyawa,” katanya menambah selain data, kementeriannya juga sedang mengusahakan undang-undang, dasar dan struktur industri yang akan menyokong pertumbuhan ekonomi digital.
Katanya industri perlu meningkatkan peranan mereka dan menjadi rakan kongsi kerajaan.
“Kami perlukan anda untuk menyebar luas, mendidik, melabur dan menunjukkan kepada rakyat Malaysia tentang betapa meluasnya penggunaan digital ini, bukan sahaja ia bagus tetapi juga satu keperluan dalam dunia sekarang,” katanya. – BERNAMA