Monday, November 25, 2024

Creating liberating content

Kawalan Ketat Di Wisma...

KELANA JAYA - Keadaan di luar Wisma FAM, di sini tenang sekalipun kawalan...

Projek Lebuhraya Pan Borneo...

KUCHING - Kerja-kerja pembinaan sedang berjalan di Jalan Simpang Nyalau/Bakun sepanjang 43 kilometer...

Kontraktor Tak Mengaku Salah...

PETALING JAYA - Seorang kontraktor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini...

PTPTN Sasar RM4b Kutipan...

KUALA LUMPUR - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyasarkan kutipan bayaran balik...

Kenangan Indah Percutian Kapal Persiaran Mewah

PELABUHAN KLANG – Gah tersergam SuperStar Gemini berlabuh di Pelabuhan Klang sebelum memulakan pelayaran sulungnya baru-baru ini.

Kanak-kanak berusia enam tahun yang merupakan pesakit leukimia, Adam Khalish Harfa Azhar, dari Seremban, Negeri Sembilan adalah antara tetamu istimewa dalam pelayaran empat hari, tiga malam kapal mewah itu, merangkumi laluan Pelabuhan Klang-Phuket (Thailand)-Pulau Pinang-Pelabuhan Klang dari 5 hingga 8 Nov itu.

Bagi kanak-kanak yang bukan sahaja meminati kapal, malah bercita-cita menjadi kapten kapal, pelayaran itu adalah ibarat impiannya menjadi kenyataan.

Sekalung tahniah buat badan bukan kerajaan (NGO), Make-A-Wish Malaysia yang menguruskan Adam Khalish menyertai pelayaran itu.

Kemas mengenakan seragam kapten kapal, Adam Khalish kelihatan sangat comel lengkap dengan topinya. Nyata, kanak-kanak itu sangat gembira apabila dijemput masuk ke “Bridge” tempat kapten mengemudi kapal, apatah lagi diberi peluang memegang stereng kapal – bagaikan cita-citanya sudah tercapai.

“Sangat seronok… saya dapat pegang stereng kapal dan melihat lautan melalui teropong,” kata kanak-kanak itu teruja.

Adam Khalish ditemani ibu bapanya, jurujual kereta Azahar Sojot, 36 dan Fazidah Hassan, 32, serta adiknya Luth Harith, 3. Kanak-kanak itu didiagnosis menghidap leukimia pada Jun 2017 dan telah melengkapkan enam rawatan kimoterapi sejak itu.

Fazidah berkata, ujian air tulang belakang Adam Khalish pada bulan lalu mendapati bahawa kansernya telah tiada, bagaimanpun perlu menjalani rawatan pemulihan sehingga tahun 2020.

PELAYARAN SEMAKIN POPULAR

Superstar Gemini, salah sebuah kapal pelayaran Star Cruises itu, akan berpangkalan di Malaysia dari 5 Nov hingga 28 April 2019. Star Cruises dikendalikan oleh Genting Cruise Lines, yang merupakan salah satu bahagian Genting Hong Kong, sebuah syarikat peranginan, hiburan dan hospitaliti global terkemuka.

Selain pelayaran pergi balik Pelabuhan Klang ke Phuket dan Pulau Pinang, SuperStar Gemini juga menawarkan itinerari 4hari/3malam Phuket dan Langkawi.

Penulis adalah antara kumpulan wartawan yang berpeluang menikmati pelayaran kapal mewah itu bersama-sama kira-kira 1,200 penumpang lain pada 5-8 Nov.

Melihatkan keadaan kapal yang sibuk dengan penumpang, ternyata percutian pelayaran semakin popular di Malaysia. Pada tahun lalu, seramai 924,885 penumpang menaiki 599 pelayaran di Malaysia berbanding tahun 2016 seramai 682,063 orang dengan 435 pelayaran.

Bagi penulis, mendapat jemputan itu bagaikan pucuk dicita ulam mendatang. Sememangnya sudah lama penulis menyimpan impian untuk merasai pengalaman membelah lautan biru dengan pelayaran kapal mewah.

Walaupun pada awalnya saya merasakan agak pening sedikit, namun masa empat hari tiga malam dalam pelayaran itu cukup mengujakan sehingga tidak terasa masa berlalu begitu pantas.

PELBAGAI KEMUDAHAN

Menjadi amalan bagi Star Cruises menasihatkan para penumpangnya agar tiba awal di pelabuhan bagi memudahkan proses daftar masuk dan pemeriksaan bagasi.

Setiap penumpang diberikan satu kad identiti yang tertera namanya dan nombor bilik. Kad itu bukan sahaja digunakan sebagai kunci bilik masing-masing malah untuk setiap pembelian barangan di atas kapal atau untuk makan di mana-mana restorannya.

Sebaik menjejakkan kaki ke dalam perut kapal SuperStar Gemini yang sepanjang 230 meter dan 20 meter lebar itu, penulis berasa kagum dengan hias dalamannya yang serba mewah. Lebih daripada itu, layanan penuh mesra oleh kakitangan kapal membuatkan penumpang terasa seperti berada di rumah sendiri.

Aspek keselamatan adalah antara perkara yang dititik beratkan, justeru itu semua penumpang perlu mengikuti penerangan kecemasan sebelum memulakan pelayaran tepat 2 petang dari Pelabuhan Klang.


SuperStar Gemini yang terdiri daripada 13 tingkat (dek) merangkumi 765 kabin, boleh menampung kira-kira 1,530 penumpang pada satu-satu pelayaran. Terdapat lapan jenis kabin termasuk suite eksekutif dan kabin standard yang boleh dipilih dengan harga berbeza mengikut keluasan bilik, bermula dari dek lima hingga ke dek 11.

Penulis ditempatkan di dek 7 dengan bilik bertingkap menghadap laut yang memuatkan dua katil bujang dengan satu katil sofa beserta kemudahan lain yang sama seperti yang disediakan hotel. Apabila langsir tingkap ditutup memang tidak akan terasa bahawa anda sebenarnya berada di dalam kapal yang sedang bergerak.

Kapal pesiaran itu bukan sahaja menyediakan kabin yang selesa, malah pelbagai hidangan menarik dan enak. Pelayaran SuperStar Gemini menyediakan makanan sebanyak empat kali iaitu sarapan, makan tengahari, makan malam dan makan tengah malam.

Para penumpang mempunyai tiga pilihan restoran iaitu iaitu Dynasty, Mariners dan Bella Vista yang menawarkan pelbagai hidangan bufet. Kalangan penumpang beragama Islam tidak perlu bimbang kerana restoran Mariners dan Bella Vista di dek 9 menyediakan makanan halal. Kini pihak Star Cruises dalam proses mendapatkan sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Agama Islam (JAKIM).

Selain itu, penumpang juga boleh bersantai dan menikmati hidangan di Oceana Berbecue, Champs Bar, Blue Lagoon, Taipan dan Ir Lounge.

Jadi tidak perlu bimbang kerana anda tidak mungkin kelaparan sepanjang pelayaran tersebut malah mungkin berat badan akan naik apabila turun dari kapal nanti.

BANYAK AKTIVITI

Melihat keindahan matahari terbit dan terbenam di tengah-tengah laut membiru adalah antara momen yang tidak boleh dilepaskan apabila berada dalam pelayaran seumpama itu. Menyaksikan laut yang terbentang luas sambil menghirup udara segar mampu melupakan seketika kesibukan harian yang ditinggalkan.

Langsung tidak ada detik yang membosankan, memandangkan pihak Star Cruises sentiasa menyediakan pelbagai aktiviti menarik untuk para penumpang, sama ada kanak- kanak mahupun kalangan yang berusia bagi mengisi semasa sepanjang pelayaran.

Selain gimnasium, terdapat kolam renang untuk golongan dewasa dan kanak-kanak; pusat karaoke untuk keluarga serta kedai bebas cukai yang menjual pelbagai barangan berjenama termasuk minyak wangi, cermin mata hitam dan jam tangan.

Sementara itu, di dewan utama pula, persembahan silap mata, hiburan dan sarkas yang sesuai untuk semua peringkat umur mengikut jadual ditetapkan setiap hari.

Lebih menarik lagi, pelayaran SuperStar Gemini antara 14 Nov hingga 31 Jan menyajikan filem “Spider-Man : Into the Spider-Verse” sempena tayangan filem itu pada Disember ini. Star Cruises bekerjasama dengan Sony Pictures untuk menyediakan aktiviti-aktiviti berkaitan ‘Spiderman’ di atas kapal itu.

PHUKET DAN PULAU PINANG

Setelah berlepas dari Pelabuhan Klang pada hari pertama, kapal itu belayar selama kira-kira 24 jam sebelum berlabuh di pantai Phatong di Phuket. Para penumpang dibenarkan naik ke darat dan diberi masa kira-kira tujuh jam untuk melakukan aktiviti bebas di pulau itu.

Penulis bersama kumpulan media dibawa mengikuti pakej yang disediakan Star Cruises ke tiga tempat tumpuan pelancong iaitu melawat Big Buddha, Wat Chalong dan kilang memproses kacang gajus.

Tepat 10 malam, kapal bersedia berlepas ke Pulau Pinang, dan tiba di destinasi pada 1.30 petang keesokan harinya, di mana kapal berlabuh kurang enam jam di Swettenhan Pier.

Kapal berlepas semula pada 7.30 malam pada hari sama untuk pelayaran pulang dan tiba di Pelabuhan Klang pada 10 pagi keesokan harinya, meninggalkan kenangan manis bagi penulis dan setiap penumpang yang mengikuti pelayaran itu.

Disunting oleh Sarimah Othman – BERNAMA

Kategori