AGENDA menarik ahli-ahli Parlimen UMNO ke dalam PPBM bertujuan mengukuhkan kuasa Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mengetuai parti itu dan menjawat jawatan Perdana Menteri.
Jumlah kerusi yang besar dimiliki PPBM di Parlimen membolehkannya menjadi parti dominan atau sekurang-kurangnya bukan parti yang terpaksa tunduk kepada tekanan DAP.
Sekali tengok, ada rasional tersendiri usaha menarik wakil rakyat UMNO ini, tetapi bila diteliti betul-betul, nampak jelas yang ia bertujuan menguatkan seorang pemimpin dan sebuah parti.
Parti PPBM sudah sedia diketahui menjalin hubungan baik dengan DAP, dan sudah bersedia menolak ketuanan Melayu yang diperjuangkan UMNO.
Satu lagi yang menjolok mata ialah penyucian ahli Parlimen yang menyeberang ke PPBM, walaupun sebelum ini dikaitkan dengan kes korupsi atau dianggap tidak bersih.
Malah, pemimpin PPBM sendiri membuat kenyataan menyebut beberapa nama yang tidak boleh diterima, dan menyebut kononnya ada mekanisme menapis mereka.
Mereka yang hendak menyeberang ini mesti berfikir panjang kerana kes-kes ini, sama ada benar atau sekadar persepsi, telah dijadikan senjata oleh PPBM dan pihak yang sedang memegang kuasa.
Mereka yang mahu melompat mungkin boleh menarik nafas lega kalau diberitahu diterima masuk PPBM, tetapi amat naif kalau mereka memikirkan tindakan lompat itu boleh membersihkan.
Selepas lompat, mereka juga akan terdedah kepada persaingan antara kem dalam PPBM, dan mungkin mereka sendiri akan muncul sebagai pemimpin dan terpaksa mempertahankan kedudukan.
PPBM juga tidak semestinya pemutus menentukan siapa yang akan disiasat dan siapa tidak akan disiasat, walaupun nampak begitu sekarang ini.
Malah belum dapat dipastikan sampai bila PPBM dapat memimpin Pakatan Harapan seperti sekarang ini.
DAP yang kekal dominan dan kuat dalam PH boleh berperanan dalam mendesak siasatan, walaupun sudah dibersihkan.
Tidak patut dilupakan juga PKR yang sudah terpecah kepada dua kem dan masing-masing mempunyai agenda yang berbeza.
PKR juga tidak mahu “disailang” oleh PPBM yang tiba-tiba dipenuhi calon-calon menteri sehingga menenggelamkan tokoh-tokoh PKR.
Bakal Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri sudah memberi amaran: “Ada orang umpanya yang ada rekod, memimpin kementerian-kementerian kanan dengan segala kerosakan yang berlaku kemudian rasa selamat sekiranya menyeberang ke Pakatan Harapan.
“Proses siasatan harus terus,” tegas Anwar.
“Apakah dengan kekuatan itu ia akan berbalik kepada pengaruh lama dalam sistem kita?
“Apakah kewajaran terlalu mendesak untuk memanggil terutama mereka yang ada rekod?”
Anwar sudah nampak apa agenda PPBM membawa masuk ahli-ahli Parlimen ini.
Satu lagi isu penting mesti diperhalusi ialah mereka yang melompat ini terbukti tidak setia dan boleh dibeli.
Lompatan hari ini mungkin bukan satu-satunya lompatan yang akan dibuat. – Mynewshub.tv