KOTA BHARU – Kerajaan akan mengkaji proses ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) sebelum membuat sebarang keputusan mengenainya.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Md Farid Md Rafik berkata kerajaan mengambil kira kebimbangan yang dilontarkan di peringkat akar umbi memandangkan konvensyen itu akan menyentuh mengenai keseluruhan kaum di Malaysia.
“Kita cuba untuk melihat kesesuaian ICERD di negara kita namun dalam masa yang sama, ia perlu dikaji dan dilakukan perbincangan secara mendalam kerana kita masyarakat berbilang kaum dan majmuk,” katanya ketika ditemui di Projek Jalinan Kasih parlimen Kota Bharu di sini, hari ini.
Seramai 30 asnaf menerima sumbangan pada majlis yang turut dihadiri Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang juga Ketua Bahagian Bersatu Kota Bharu Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman.
Md Rafik berkata pihaknya juga mengadakan dialog baru-baru ini sebagai salah satu langkah untuk mengkaji proses ratifikasi konvenseyn berkenaan.
Isnin lepas, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dipetik sebagai berkata Kabinet belum membincangkan secara terperinci proses ratifikasi ICERD dan akan berbuat demikian dalam masa terdekat. – BERNAMA