KUALA LUMPUR – Kerajaan mempunyai rancangan ke arah menggabungkan institusi pendidikan awal kanak-kanak di negara ini melalui penubuhan Jawatankuasa Khas Bagi Mengawal Selia Secara Bersepadu Penubuhan dan Operasi Institusi Pendidikan Awal Kanak-kanak Di Malaysia.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, jawatankuasa itu telah diluluskan penubuhannya oleh mesyuarat jemaah menteri, dan ia dipengerusikan bersama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) serta Kementerian Pendidikan.
Beliau berkata antara objektif penubuhan jawatankuasa itu adalah bagi merintis penubuhan badan khas yang mempunyai kuasa eksekutif untuk memantau pelaksanaan pendidikan awal kanak-kanak, menyelaras dan mengawal selia semua institusi pendidikan awal kanak-kanak di Malaysia, tanpa meminggirkan hak dan tanggungjawab sedia ada setiap kementerian dan agensi yang terlibat dalam pendidikan awal kanak-kanak.
“Dalam masa terdekat ini, saya akan mempengerusikan satu mesyuarat yang akan melibatkan semua kementerian berkaitan dengan pendidikan awal kanak-kanak,” katanya ketika menggulung perbahasan peringkat dasar Belanjawan 2019 bagi KPWKM di Dewan Rakyat, hari ini.
Mengulas lanjut, Dr Wan Azizah, yang menerajui KPWKM, berkata pada masa ini kanak-kanak berumur empat tahun ke bawah ditempatkan di Taman Asuhan Kanak-kanak (TASKA), manakala kanak-kanak berumur antara lima dan enam tahun ditempatkan di Taman Didikan Kanak-kanak (TADIKA).
Katanya, kedua-dua institusi itu dikawal selia oleh kementerian dan agensi yang berlainan dan tertakluk di bawah akta yang berbeza.
Dalam perkembangan lain, Dr Wan Azizah berkata, kerajaan kini sedang dalam usaha membangunkan satu sistem semakan terhadap senarai pelaku jenayah terutama yang melibatkan keganasan dan kesalahan seksual.
Beliau berkata kementeriannya dengan kerjasama Unit Pemodenan Tabiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) sedang berkolaborasi dengan pihak mahkamah, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Penjara dan lain-lain agensi berkaitan menggunakan kepakaran serta sumber sedia ada bagi membangunkan sistem tersebut.
“Melalui sistem ini, pihak sekolah, institusi kanak-kanak, TASKA, pusat jagaan atau pengusaha bas sekolah boleh mengemukakan permohonan semakan sebelum pengambilan kakitangan atau pekerja bagi memastikan individu yang mempunyai rekod sabitan jenayah tidak diambil bekerja dalam industri yang berkaitan dengan kanak-kanak,” katanya.
Katanya, dalam merangka penyelesaian yang holistik bagi isu-isu yang melibatkan kanak-kanak di negara ini, pihaknya juga sedang dalam proses penyediaan Peta Laluan Kesejahteraan Kanak-Kanak.
Dr Wan Azizah berkata, peta laluan itu merupakan satu pelan tindakan komprehensif merangkumi penglibatan semua agensi kerajaan yang terlibat bagi memastikan kanak-kanak diberi peluang mengembangkan potensi sepenuhnya, sekali gus membuka masa depan yang cerah.
Pada masa ini penyediaan peta laluan itu telah melibatkan lima kementerian iaitu KPWKM, Kementerian Pendidikan, Kementerian Kesihatan, Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Kementerian Dalam Negeri. – BERNAMA