LOS ANGELES – Hanya kerana mendapati sos tomato tidak mencukupi dalam bungkusan pesanan, menyebabkan seorang wanita bertindak memukul dan mencekik pengurus restoran McDonald, kata polis.
Myara Berenice Gallo, 24, naik berang pada 27 Oktober lalu selepas memesan makanan menerusi lorong pandu lalu di restoran itu, di Santa Ana.
Jurucakap polis, Anthony Bertagna berkata, Gallo yang gagal mengawal kemarahannya ketika itu masuk ke restoran melalui pintu belakang, lalu bertindak ganas dengan menolak dan mencekik mangsa hanya kerana permintaannya tidak dilayan.
“Wanita itu marah kerana tidak mendapat sos tomato,” kata Bertagna.
Insiden yang berjaya dirakam kamera litar tertutup itu berakhir apabila seorang lelaki yang menemani Gallo menariknya keluar.
Polis berjaya mengesan dan menahan wanita itu pada Selasa lalu, hasil maklumat orang ramai dan dia bakal didakwa.
Bertagna berkata, insiden seperti itu sudah menjadi perkara biasa dan ia amat menyedihkan.
“Kita melihat insiden seperti ini semakin kerap berlaku, kenapa? kami tidak tahu. Kami juga menerima laporan seorang lelaki yang mengamuk di kedai serbaneka, 7-Eleven hanya kerana kad kreditnya tidak berfungsi ketika mahu membayar sebungkus coklat M&M. – AFP/BH ONLINE