LARIS… Sebuah kerusi roda milik Profesor Stephen Hawking dilelong pada harga hampir £300,000 (RM1.6 juta) manakala salinan tesis kedoktoran mendiang pula dijual cecah £585,000 (RM3.1 juta).
Demikian menurut jurulelong terkemuka Christie’ selepas berakhir acara lelongan menerusi atas talian semalam sekali gus tonjol populariti saintis yang dilahirkan pada 8 Januari 1942 di Oxford, England itu amat berpengaruh.
Kerusi roda bermotor yang pernah digunakan oleh ahli fizik tersebut selepas beliau lumpuh akibat penyakit saraf – yang juga dikenali sebagai Amyotrophik Lateral Sclerosis atau Lou Gehrig; dijual hampir 19 kali ganda tinggi.
Ini berbanding ramalan sebelum ini iaitu hanya £15,000 (RM80,400). Hasil diraih daripada penjualan kerusi roda itu akan disalurkan kepada dua badan kebajikan – Yayasan Stephen Hawking dan Persatuan Penyakit Saraf Motor.
Sementara itu, tesis Hawking bertajuk “Properties of Expanding Universes”, yang diterbitkan pada 1965 semasa beliau menuntut di Universiti Cambridge, dijual lebih dua kali ganda berbanding unjuran sebelum acara lelong itu.
Hawking mengubah tanggapan kita mengenai konsep alam semesta dan teori masa. Beliau berjaya melakukan itu semua meskipun mendiang tidak dapat bertutur dan ‘terkurung’ di atas kerusi rodanya selama lebih setengah abad.
Pada awalnya Hawking bukan pelajar cemerlang tetapi didiagnosis mengalami penyakit saraf degeneratif pada usia 21 tahun. Mendiang juga pernah diberitahu bahawa beliau hanya dapat hidup selama beberapa tahun sahaja.
Hawking bagaimanapun terus menjalani kehidupan selama beberapa dekad sebelum meninggal dunia pada 14 Mac lalu dalam usia 76 tahun di Cambridge, England sebelum jasadnya disemadikan di Westminster Abbey, London.
Anak perempuan mendiang, Lucy Hawking dipetik agensi berita antarabangsa Reuters, berkata penjualan itu beri “peluang kepada para peminat karya Hawking untuk memiliki barangan peribadi ayahnya sebagai cenderamata”.
Anak-anak Hawking juga rancang untuk pulihara karya saintifiknya sebagai warisan Britain. Beliau diingati kerana buku tulisannya A Brief History of Time pada 1988 dijual 10 juta naskhah di seluruh dunia. – Agensi/Mynewshub.TV