BONGKAR… Bagi generasi muda yang lahir selepas 1990-an, kisah seluruh Semenanjung Malaysia bergelap tanpa elektrik atau disebut blackout mungkin tidak diketahui atau tidak diambil peduli!
Peristiwa hitam tersebut yang didakwa banyak pihak sebagai sabotaj akibat konspirasi perdana menteri waktu itu, Datuk Seri (kini Tun) Dr. Mahathir Mohamad dalam usaha sengaja aibkan imej Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Komplot jahat itu turut diakui bekas Pengerusi Eksekutif TNB, Allahyarham Tan Sri Ani Arope yang mengesahkan pelan blackout seluruh semenanjung pada 1992 bertujuan mewujudkan Penjana Tenaga Bebas (IPP) di negara ini.
Ia dinyatakan dalam buku beliau Memoir Tan Sri Ani Arope setebal 143 surat menceritakan permulaan IPP apabila Unit Perancang Ekonomi (EPU) dikuasai oleh Mahathir pada ketika itu ‘paksa’ TNB serahkan dua bidang tanahnya.
Ini melibatkan di Paka, Terengganu dan Pasir Gudang, Johor kepada pihak ketiga iaitu kroni Mahathir bagi projek pembinaan loji janakuasa IPP yang akan bekal tenaga elektrik kepada pihak TNB semula dengan harga amat tinggi.
“TNB ada rancangan untuk hasil lebih banyak bekalan elektrik dengan bina loji di Pasir Gudang dan Paka. Tiada masalah pembiayaan dan kredit kami adalah sangat tinggi. Kami memiliki tanah dan bersedia untuk membina loji.
“Tetapi kami diberitahu oleh EPU bahawa ia pun ada rancangan sendiri. Kami diberi amaran oleh EPU bahawa jika loji itu, yang ambil masa dua bulan untuk disiapkan tidak dibina, Malaysia akan alami satu lagi blackout,” katanya.
Begitulah luahan sedih Ani ketika temuramah oleh akhbar The Star pada 2014 lepas mengenai apa berlaku pada 1992 sebelum keadaan buruk itu berjaya diperbetulkan oleh bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Mantan menteri kewangan itu yang sedar kemelut tersebut telah bertindak ambil alih semua IPP menerusi sayap pelaburan strategik kerajaan, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tetapi ini cetus kemarahan Mahathir pula.
Walhal langkah bijak Najib itu bertujuan memastikan tarif elektrik yang kerap naik pada era Mahathir hingga beban pengguna miskin kemudian berjaya diturun setelah 1MDB menguasai semua IPP milik kroni negarawan tersebut.
Mengulas lebih lanjut, Ani yang dilantik jadi bos TNB pada 1990 berkata, syarikat utiliti awam tersebut semasa itu memiliki 250 jurutera terbaik dan adalah mustahil kes blackout disebabkan perancangan lemah mereka sendiri.
Menurut Ani, selepas peristiwa hitam itu, TNB menghasilkan elektrik pada 8 sen seunit (kwh) dan membekalkannya pada 17 sen seunit, namun pihak IPP menghasilkan elektrik untuk djual balik kepada TNB pada kos 23 sen seunit.
Ini menyebabkan TNB perlu kenakan caj dengan kadar tidak kurang 30 sen seunit dan akhirnya ditanggung oleh pengguna. Bayangkanlah untung besar sebanyak 26 sen dibuat pihak IPP yang ‘curi’ elektrik daripada TNB sendiri!
Kata Ani lagi, sebenarnya memang tiada rundingan dilakukan dan perjanjian berat sebelah itu menyebabkan 20 juta pengguna pada dekad 1990-an tersebut tiada pilihan apabila terpaksa membayar kenaikan tarif elektrik amat tinggi.
“Pasukan saya kecewa. EPU hanya beri kami terma dan meminta kami bersetuju. Saya kata tidak mungkin!” katanya yang dipaksa letak jawatan sejurus kejadian itu. Beliau berpendapat perjanjian itupun adalah salah dari segi moral.
Berdasarkan laporan tahunan yang dikeluarkan syarikat petroleum milik negara, Petronas pada 2008, pihak IPP dapat subsidi gas berjumlah RM8.1 bilion untuk hasilkan elektrik, manakala TNB pula peroleh hanya RM5.7 bilion.
Subsidi tersebut menyebabkan kontroversi kerana lebih 40 peratus daripada lebihan kapasiti yang dijana oleh IPP dan TNB setiap tahun adalah sia-sia kerana Malaysia kebetulan tidak memiliki teknologi simpanan bekalan gas.
“Dengan ada klausa ambil-atau-bayar dan 40 peratus rizab berlebihan yang kita ada hari ini, seseorang hanya perlu menghasilkan setengah keupayaan seseorang tetapi perlu dibayar 80 peratus daripada kapasiti yang dipersetujui.
“Syabas EPU – Economic Plundering Unit (unit rampas ekonomi),” sindir Ani Arope. Allahyarham yang berasal dari Sungai Bakap, Pulau Pinang, akhirnya lepaskan jawatan pada 1996 setelah enam tahun berkhidmat penuh dedikasi.
IPP pernah menyebabkan saham TNB jatuh junam daripada 20 sen pada tahun 1993 berkurangan kepada 10 sen setahun kemudian. Ekoran itu, TNB terpaksa menaikkan tarif elektrik untuk mengekalkan keuntungan syarikat.
Ani meninggal dunia di Pusat Perubatan Subang Jaya, Selangor pada 2014 dalam usia 82 tahun kerana penyakit kanser prostat, dengan meninggalkan seorang balu, Puan Sri Saenah Ahmad dan tiga orang anak selain anak angkat.
Untuk rekod, syarikat IPP yang telah dapat kadar keuntungan sehingga berbilion ringgit ialah Genting Sanyen Power Sdn. Bhd, Powertek Berhad, Segari Energy Ventures Sdn. Bhd. SEV 2nd dan YTL Power Generation Sdn. Bhd.
Juga melibatkan ARL Tenaga Sdn. Bhd., TNB Janamanjung Sdn. Bhd., Teknologi Tenaga Perlis Konsortium Sdn. Bhd., Prai Power Sdn. Bhd., GB3 Sdn. Bhd. dan Tanjung Bin Sdn. Bhd. – Mynewshub.TV