PARADISE, California – Jumlah mangsa yang terkorban akibat kebakaran besar di California Utara meningkat kepada 42 orang kelmarin, menjadikannya kebakaran hutan paling buruk dalam sejarah negeri Amerika Syarikat tersebut.
Beribu-ribu anggota bomba bertungkus-lumus pada hari kelima untuk mengawal kebakaran besar itu yang dikenali sebagai Camp Fire, di kawasan pergunungan Sierra Nevada, utara bandar raya Sacramento, manakala pasukan mencari meneruskan misi mencari mayat mangsa yang terkorban.
“Sehingga hari ini (kelmarin), tambahan 13 mayat manusia telah ditemui, menjadikan korban keseluruhan meningkat kepada 42 orang,” kata Syerif, Kory Honea pada satu sidang akhbar.
“Kebakaran itu adalah kebakaran hutan yang paling buruk dalam sejarah California,” tambahnya.
Meskipun agak sukar untuk disahkan berikutan simpanan rekod yang tidak konsisten, Camp Fire dipercayai kebakaran hutan paling dahsyat dalam tempoh satu abad di AS, sejak kebakaran dinamakan Cloquet Fire mengorbankan sekitar 1,000 orang di Minnesota pada tahun 1918.
Camp Fire merupakan gabungan beberapa kebakaran besar yang memaksa seramai 250,000 orang meninggalkan kediaman masing-masing di California ketika angin kuat selaju 100 kilometer sejam bertiup, mengakibatkan api mudah merebak.
Selain kehilangan nyawa, Camp Fire membawa kerosakan lebih besar berbanding mana-mana kebakaran lain dengan memusnahkan 6,500 kediaman di Paradise, melenyapkan bandar itu daripada peta.
Lebih 5,100 anggota bomba dari Washington dan Texas berusaha untuk mengawal api ketika pasukan penyelamat dibantu ahli antropologi dan makmal DNA untuk mengenal pasti identiti mangsa yang rentung. – AFP/KOSMO ONLINE