KOTA KINABALU – Kos elektrik, bekalan air dan logistik merupakan antara cabaran dihadapi Sabah untuk menarik lebih ramai pelabur ke negeri ini, kata Timbalan Ketua Menteri, Datuk Wilfred Madius Tangau.
Madius berkata, meskipun kehadiran pelabur, terutama dari China meningkat, namun, ketiga-tiga aspek itu perlu sentiasa dititik beratkan kerana ia sangat penting ke arah pembangunan industri lebih mapan pada masa akan datang.
Mengambil contoh kos bekalan elektrik, Madius yang juga Menteri Perdagangan dan Perindustrian negeri berkata, Sabah bersaing dengan Sarawak yang menawarkan harga pada kadar serendah RM0.09 sekilowatt jam hingga RM0.15 sekilowatt jam.
āBagi Sabah, seperti mana ditaklimatkan oleh Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), kos utiliti adalah kira-kira RM0.40 sekilowatt jam, dan apabila dibekalkan kepada pengguna tidak kira residen, industri atau komersil pada harga RM0.34 sekilowatt jam.
āIni sangat kritikal dan pelabur datang ke Sabah meminta kos utiliti itu dikurangkan serendah RM0.10 dan paling tinggi RM0.20,ā katanya dalam sesi soal jawab pada persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Limus Jury (UPKO-Kuala Penyu) yang ingin tahu sejauh mana kerajaan negeri menarik minat pelabur ke Sabah, terutama dalam program Satu Daerah Satu Industri.
Madius berkata, masalah bekalan air juga menjadi cabaran bagi Sabah dan ini dapat dibuktikan apabila Kluster Perindustrian Kelapa Sawit (POIC) Lahad Datu sehingga pada satu tahap bekalan air dihantar menggunakan lori ke kilang terbabit.
Mengenai logistik, Madius berkata, ada beberapa pelabur China, terutama dalam pembuatan kaca ditawarkan beroperasi di Taman Perindustrian Minyak dan Gas, Sipitang, namun, disebabkan masalah logistik, pelabur terbabit lebih berminat ditempatkan di Taman Perindustrian Kota Kinabalu.
Dalam pada itu, Madius turut menghargai usaha Kabinet Sabah meluluskan pelabuhan Lahad Datu dan diisytiharkan sebagai tempat pendaratan sah dengan pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia akan beroperasi 24 jam.
āKita juga berharap Lembaga Pelabuhan Sabah dapat memberi lesen kepada POIC dan dengan ini kita berharap akan dapat menarik pelabur pada masa depan,ā katanya. – BERNAMA