JAKARTA – Kotak hitam pesawat Lion Air yang terhempas Isnin lepas dilaporkan ditemui di perairan Tanjung Karawang, pagi ini.
Menurut siaran langsung sebuah televisyen tempatan, TV One yang mengikuti operasi pencarian itu, kotak hitam dan sebahagian bangkai pesawat itu ditemui pasukan penyelam tentera Indonesia, kira-kira jam 10.30 pagi ini.
Setakat 11 pagi waktu Indonesia barat, belum terdapat makluman rasmi berkenaan penemuan itu oleh pihak berkuasa Indonesia.
Mengikut laporan televisyen berkenaan, kotak hitam itu dibawa ke Kapal KM Baruna Jaya 1.
Ketua Kesiapsagaan Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan Indonesia (Basarnas), Muhamad Syaugi sebelum ini berkata empat kapal yang menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) itu yang memiliki teknologi sonar, telah mengesan isyarat ping di koordinat sama di perairan Tanjung Karawang.
Fokus pencarian pesawat Lion Air yang terhempas Isnin lepas, hari ini bertumpu di satu koordinat yang dikesan isyarat ping dari kotak hitam pesawat itu.
Penerbangan JT610 itu membawa 181 penumpang dan lapan anak kapal, terhempas selepas berlepas dari Lapangan Terbang Soekarno-Hatta pada 6.20 pagi Isnin di koordinat S 5 49.052 E 107 06.628. – BERNAMA