TAIPING – Lebih 1,000 pokok pelbagai jenis buah-buahan akan ditanam di tiga kawasan penjara di negeri ini sebagai menyahut seruan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang meminta Jabatan Penjara Malaysia menanam sejuta pokok tersebut.
Pengarah Jabatan Penjara Perak, Tan Tian Heng berkata Penjara Taiping, Penjara Tapah serta Pusat Koreksional Kamunting dipilih sebagai lokasi penanaman pokok itu kerana kawasannya luas dan sesuai ditanam dengan buah-buahan antaranya durian musang king, rambutan, durian belanda serta manggis.
Beliau berkata sebagai menyahut seruan KDN itu, kakitangan penjara juga digalakkan menanam pokok buah-buahan di kawasan rumah mereka.
“Pokok yang ditanam itu hendaklah dijaga supaya ia dapat mengeluarkan hasil yang boleh dimakan dan dijual kepada kakitangan dan orang luar,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan program menanam pokok buah-buahan peringkat Penjara Taiping di sini hari ini.
Menurut Tan, Pusat Koreksional Kamunting kini sudah berfungsi sebagai sebuah ‘penjara agro’ dengan melaksanakan beberapa projek seperti ternakan lembu, tanaman rumput napir dan sayur-sayuran yang diusahakan kakitangan dan banduan di pusat itu.
“Selain inisiatif sara diri dan latihan kepada banduan, program tanaman pokok buah-buahan akan memberikan ekosistem yang baik untuk manusia kerana ia membekalkan oksigen dan karbon monoksida selain menstabilkan suhu,” katanya. – BERNAMA