KUCHING – Sejak kawasan pertama terjejas wabak rabies diwartakan di Serian, kira-kira 110,000 ekor anjing di seluruh Sarawak telah divaksinasi setakat ini, demikian persidangan Dewan Undangan Negeri diberitahu hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata sasaran kerajaan negeri ialah memvaksin sekurang-kurangnya 70 peratus daripada 220,000 ekor anjing di negeri itu bagi mengekang penularan seterusnya wabak rabies.
Sebanyak RM20 juta telah dibelanjakan untuk pelbagai program dan kegiatan bagi mengawal serta membasmi rabies di negeri ini, kata Uggah yang juga Timbalan Ketua Menteri Sarawak ketika sesi penggulungan.
Katanya peruntukan tambahan berjumlah RM22.8 juta telah diluluskan bagi meneruskan program mengawal dan membasmi rabies tahun depan. – BERNAMA