SERDANG – Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro Malaysia (MAHA 2018) bermula hari ini hingga 2 Disember, menampilkan kelainan dengan mempamerkan inovasi terkini dalam industri pertanian.
Acara dwitahunan yang menghimpunkan segala hasil pertanian terbaik dari seluruh negara itu dijangka dapat menarik lebih 3.5 juta pengunjung dengan sasaran jualan RM300 juta.
Berlangsung di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang, ia dirasmikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, hari ini.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub, berkata industri robotik kulinari dan konsep dari makmal ke meja hidangan adalah antara tarikan terkini yang dipamerkan pada MAHA 2018.
Tingkat sektor pertanian
“Dengan promosi yang dilakukan sejak tahun lalu, kita mensasarkan kehadiran pengunjung seramai 3.5 juta orang. Apa yang menarik dapat saya lihat pada penganjuran kali ini adalah pembabitan usahawan muda yang menampakkan peningkatan.
“Kalau beginilah indikatornya, masa depan industri dalam semua sektor pertanian dapat dipertingkatkan,” katanya selepas mengadakan lawatan bersama media sempena penganjuran MAHA 2018.
Yang turut hadir Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin.
Sepanjang lawatan menjelang penganjuran MAHA 2018 semalam, Salahuddin turut menyempurnakan pelancaran minuman berkhasiat yang dihasilkan oleh Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) yang dinamakan Pinacolama.
Minuman itu diinspirasikan daripada minuman popular Pinacolada yang terdapat di Puerto Rico dan resepinya dioleh semula oleh LPNM menggunakan nanas dan kelapa.
Lancar takaful istimewa
Salahuddin turut melancarkan kad perlindungan takaful istimewa edisi MAHA 2018 oleh Agrobank yang dikenali sebagai Takaful Agro Mabrur-i Edisi Khas MAHA 2018.
MAHA 2018 terbahagi kepada enam kluster pameran iaitu agro kulinari, agro pelancongan, agro belia, agro teknologi, produk asas tani dan jualan serta agro makanan.
Terdapat tujuh laman disediakan iaitu Laman Padi, Laman Ternakan, Laman Perikanan, Laman Nanas, Laman Herba dan Sayur, Laman Florikultur dan Laman Mekanisasi, Automasi dan teknologi.
Turut disediakan, 13 pavilion negeri yang masing-masing mempunyai reka bentuk unik. Rumah negeri ini menampilkan identiti, kebudayaan, pameran dan makanan mereka tersendiri untuk dinikmati pengunjung.
Bagi menarik kehadiran pengunjung, MAHA 2018 menampilkan tarikan terbaru iaitu Kulinari, Sumber Rezeki Baharu, Teknologi Terkini, Jualan Industri Asas Tani Berkonsep Hypermarket, Miracle Garden, Kampung Digital Mok Cun dan Festival Kanak-kanak Terbesar LolaBaba. – BH ONLINE