PUTRAJAYA – Majikan di sektor awam atau swasta perlu berani melabur untuk memiliki teknologi terkini berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerjaan, kata Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) Tan Sri Lee Lam Thye.
Menurutnya, contoh teknologi terkini yang perlu digunakan ialah peralatan perlindungan diri (PPE) yang dilengkapi sensor atau teknologi pengenalan frekuensi radio (RFID) yang dapat membantu mempercepatkan pengumpulan data dengan tepat dan cekap.
“Memiliki kemajuan terkini dalam teknologi keselamatan membolehkan sesebuah syarikat melindungi pekerja dengan lebih berkesan, sekaligus membantu mereka mencapai kelebihan daya saing melalui pengurangan kos berkaitan pengurusan keselamatan,”katanya.
Lee berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Persidangan Saintifik Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kali Kelima (SciCOSH 2018) bertemakan “Engaging OSH in IR4.0” di sini hari ini.
SciCOSH menjadi platform terbaik bagi pihak berkepentingan membincangkan dan berkongsi pelaksanaan promosi keselamatan, kesihatan dan alam sekitar, katanya.
Lee berkata berdasarkan ekspektasi Revolusi Industri 4.0 (IR4.0), membuat pelaburan bukan lagi satu pilihan kepada majikan sebaliknya ia sesuatu yang tidak boleh dielakkan bagi memastikan daya saing syarikat bergerak seiring kemajuan dalam aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan, katanya.
Beliau memberikan contoh teknologi dron yang membolehkan majikan memantau segenap sudut bangunan yang sedang dalam pembinaan, sekaligus mendorong pelaksanaan projek dibuat mengikut prosedur operasi standard yang ditetapkan, satu langkah yang boleh mengurangkan risiko kemalangan akibat pelanggaran etika kerja oleh pekerja.
Terdahulu, Lee menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara NIOSH dan Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara Jepun (JNIOSH) bagi bekerjasama dalam pelbagai keselamatan pembinaan; alam sekitar; ergonomik dan keselamatan proses kimia.
Kerjasama itu menyaksikan kedua-dua pihak berkongsi kepakaran, penyelidikan dan kemudahan, peralatan teknikal dan idea serta mengoptimumkan sumber melalui seminar saintifik, bengkel dan penerbitan ilmiah secara bersama, katanya. – BERNAMA