SEREMBAN – Majlis Daerah Jempol (MDJ) akan diisytiharkan sebagai Majlis Perbandaran Jempol (MPJ) pada 29 Jan 2019, kata Menteri Besar Aminuddin Harun.
Katanya pengisytiharan pada tarikh tersebut sempena Hari Keputeraan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir.
“Tarikh tersebut telah mendapat perkenan Tuanku Muhriz. Majlis pengisytiharan MPJ akan disempurnakan Tuanku Muhriz sendiri di hadapan bangunan MDJ. Pengisytiharan MPJ ini juga adalah di antara program sempena Hari Keputeraan Tuanku Muhriz yang ke-71.
“Beberapa acara akan diadakan sempena dengan pengisytiharan MPJ. Ia termasuk majlis bacaan Yassin di Masjid Tuanku Muhriz, pertandingan memancing, pertandingan memasak dan gubahan, pertandingan mewarna kanak-kanak, pertandingan ‘explore race’ dan maraton ‘tray run’,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan exco di sini, hari ini.
Katanya dengan pengisytiharan itu nanti MPJ akan menjadi majlis perbandaran keempat di negeri ini selepas Majlis Perbandaran Seremban, Majlis Perbandaran Nilai dan Majlis Perbandaran Port Dickson.
Disamping itu, katanya kerajaan negeri juga akan melantik Yang Dipertua MPJ dan Pegawai Daerah Jempol yang baharu.
Katanya pengisytiharan MDJ dinaik taraf sebagai MPJ dibuat kerana hasil kutipan hasilnya yang meningkat dan penduduknya yang ramai.
Mengenai penubuhan Majlis Bandaraya Seremban (MBS) yang sepatutnya diisytiharkan tahun hadapan, beliau berkata pengisytiharannya ditangguhkan ke tahun 2020.
“Perkara ini (tarikh pengisytiharan MBS) bagaimanapun bergantung kepada perkenan Yang DiPertuan Agong dan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.
“Kita terpaksa menangguhkan pengisytiharan MBS berikutan kita perlu menyelesaikan beberapa perkara termasuk yang melibatkan penempatan pegawai, pejabat, kemudahan, peruntukan dan sebagainya,” katanya. – BERNAMA