KUALA LUMPUR — Malaysia komited untuk melahirkan lebih ramai pemain badminton remaja di Asia.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, kerajaan menggalakkan dan memuji usaha oleh sektor swasta dan pertubuhan bebas untuk membantu agar komitmen ini menjadi satu kenyataan.
Dr Wan Azizah, yang juga penaung Persatuan Badmonton Malaysia (BAM) berkata, peranan para pemimpin dari kerajaan dan sektor swasta adalah bagi membolehkan generasi remaja mendapat peluang dalam sukan ini mewakili negara dalam gelanggang global.
“Menerusi asuhan dan latihan yang konsisten, bakat remaja akan mampu memenuhi permintaan pertandingan peringkat tempatan dan antarabangsa.
“Lagi awal kita latih mereka untuk mengambil bahagian di peringkat global, lagi besar peluang untuk mereka berjaya dengan kemahiran yang lebih maju dan pengalaman yang lebih di pihak mereka,” katanya semasa melancarkan Kejohanan Serantau Pasukan Campuran Remaja Bawah 15 (U-15) Astro di Stadium Juara Bukit Kiara, hari ini.
Dr Wan Azizah menambah kata, sektor swasta di Malaysia pada umumnya menyumbang kepada penajaan kepada atlit profesional, mengasah atlit berkenaan, menerusi platform penting seperti Kejohanan Remaja Astro (AJC) Serantau hari ini.
Beliau berkata, AJC Serantau juga menyediakan peluang untuk menemui dan menjalinkan persahabatan dengan rakan-rakan dari sembilan negara seluruh Asia sepanjang tiga hari ini, bagi membina persahabatan dan mencatatkan sejarah dalam kejohanan badminton pasukan campuran U-15 yang pertama di Asia.
AJC Serantau menyaksikan penyertaan seramai 160 pemain dari 14 pasukan dari China, Taiwan, Jepun, Vietnam, Indonesia dan Malaysia.
“Hari ini, saya menyatakan strategi perkongsian antara Astro dan BAM dengan pelancaran Kejohanan Pasukan Campuran Remaja Astro U-15 yang menyediakan tambahan bagi latihan dan pengalaman bermain dalam pertandingan kepada pasukan campuran.
Sementara itu, beliau berkata, kejohanan berkenaan juga penting dengan memasukkan pemain remaja perempuan dalam sukan ini agar mereka turut memperoleh pengalaman yang sama dalam bidang ini.
Dr Wan Azizah menambah bahawa wanita Malaysia menunjukkan kehandalan mereka dalam sukan ini seperti Chow Mei Kuan-Vivian Hoo, yang memenangi emas pada Sukan Komanwel tahun ini.
“Sudah tentu pasangan beregu campuran Goh Liu Ying dan Chan Peng Soon tidak asing lagi kepada rakyat Malaysia yang baharu-baharu ini melayakkan diri ke peringkat akhir Kejohanan Dunia BWF di Guangzhou dari 12-16 Dis. Pasangan ini juga mencatat sejarah sebagai pasangan beregu campuran Malaysia yang pertama menang perak di Olimpik Rio,” katanya. – BERNAMA