MELAKA – Jumlah mangsa banjir di pusat pemindahan di dua daerah di Melaka berkurangan kepada 525 mangsa daripada 121 keluarga pagi ini berbanding 643 mangsa daripada 126 keluarga malam tadi.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka, Lt Kol (PA) Effendy Ali berkata sebuah pusat pemindahan di Balai Raya Kampung Panchor, Alor Gajah yang menempatkan 102 mangsa termasuk 94 pelajar Sekolah Tahfiz Panchor dalam proses penutupan dan dijangka selesai sebelum petang ini.
“Sehingga 8.30 pagi ini, empat pusat pemindahan masih aktif di daerah Alor Gajah iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Belimbing Dalam yang menempatkan 274 mangsa dan Balai Raya Kampung Beringin 74 mangsa.
“Selain itu, SK Lesung Batu dan bangunan Jawatankuasa Penyelaras Dewan Undangan Negeri (Japerun) Durian Tunggal, masing-masing menempatkan 27 mangsa,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Effendy, yang juga Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Melaka, berkata bagi daerah Melaka Tengah pula, sebuah pusat pemindahan masih beroperasi iaitu di Balai Raya Kampung Tanah Merah, Krubong iaitu seramai 123 mangsa.
Beliau berkata kejadian banjir di kawasan terbabit dipercayai berpunca akibat hujan lebat berterusan selama empat jam dari 1.30 pagi, Isnin. – BERNAMA