UNDUR… Setelah tekanan banyak pihak atas pelantikannya sebagai presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr. Maszlee Malik akhirnya bersetuju melepaskan jawatan itu.
Namun perletakan jawatan tersebut hanya akan berkuat kuasa secara rasmi setelah ada calon lain yang sesuai sebagai penggantinya, menurut seorang pembantu menteri pendidikan itu dipetik portal Free Malaysia Today.
“Beliau sedang berusaha cari seseorang untuk dilantik menggantikan dirinya. Bagaimanapun, proses itu akan ambil masa kerana persetujuan diperlukan dari perdana menteri dan Sultan Pahang,” kata pembantu tersebut lagi.
Sekiranya benar, Maszlee, 44, bakal lakar sejarah tersendiri sebagai Presiden UIAM paling singkat pegang jawatan tersebut setelah dilantik pada 5 September lalu bagi ganti Tan Sri Dr. Rais Yatim yang berkhidmat sejak tahun 2013.
Untuk rekod, Presiden UIAM yang pertama ialah Tun Hussein Onn (1983-1987) diikuti Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum dipecat Tun Dr. Mahathir Mohamad secara zalim pada 1998 digantikan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak.
Bekas perdana menteri itu hanya berkhidmat setahun ekoran krisis politik tanah air ketika itu sebelum diisi Tan Sri Sanusi Junid selama lapan tahun dan kemudian Tan Sri Sidek Hassan (2008 hingga 2013) sebelum dipegang Rais.
Tindakan drastik Maszlee itu kebetulan cuma empat hari selepas Wan Saiful Wan Jan, secara tiba-tiba umum letak jawatan sebagai penasihat khas beliau sendiri ekoran kritikan berlarutan isu pelantikan presiden UIAM tersebut.
Sultan Pahang, selaku ketua perlembagaan UIAM, menamakan Maszlee sebagai presiden universiti itu yang ketujuh tetapi ia dibantah kumpulan pelajar, selain ramai pemimpin Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).
Mereka dakwa pelantikan itu amat bertentangan dengan janji manis PH dalam manifesto ketika Pilihan Raya Umum ke-14 lalu untuk henti amalan lama iaitu letak mana-mana ahli politik sebagai peneraju institusi akademik awam.
Ironi pelantikan Wan Saiful sebagai Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional juga dikritik banyak pihak kerana beri gambaran polisi ‘cakap tidak serupa bikin’ PH dalam lantik pemimpin agensi berkanun kerajaan.
Free Malaysia Today dimaklumkan bahawa mesyuarat jemaah Kabinet PH baru-baru ini ada bincang serius protes pelbagai kumpulan pelajar yang desak Ahli Parlimen Simpang Renggam itu untuk segera kosong jawatan di UIAM.
Pejabat menteri pendidikan di Putrajaya dalam pada itu berkata, Maszlee telah putus untuk tangguh keluar daripada UIAM sehingga berakhirnya upacara konvokesyen universiti berkenaan selama empat hari yang akan bermula esok.
“Acara tahunan bersejarah ini masih memerlukan kehadiran presiden di samping Sultan Pahang, dan selepas sahaja konvokesyen berakhir, proses penggantian akan berlaku. Ini adalah cara yang agak wajar,” kata pembantunya itu.
Maszlee yang pernah berkhidmat sebagai pensyarah di UIAM sebelum ini dilaporkan ada bertemu kumpulan pelajar anti beliau, namun bertegas enggan layan segala desakan kuat mereka untuk berundur. – Agensi/Mynewshub.TV