PUTRAJAYA – Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik menafikan beliau akan digugurkan daripada barisan Kabinet kerajaan Pakatan Harapan (PH) oleh Pengerusi PH, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam mendakwa khabar angin yang tersebar mengenainya itu disebabkan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.
“Itu khabar angin. Kita tahu sebenarnya khabar ini timbul nak alihkan perhatian kita daripada isu Najib dan Rosmah.
“Ini taktik UMNO nak larikan kita daripada isu sebenar. Saya harap media tidak terpengaruh. Walaupun pembangkang masih kekal dengan taktik kotor mereka.
“Paling penting segala apa yang timbul selepas ini taktik kotor untuk larikan kita daripada isu sebenar iaitu Najib dan Rosmah,” dakwanya.
Beliau membuat dakwaan itu di hadapan pemberita selepas melawat Sekolah Menengah Kebangaaan (SMK) Putrajaya Presint 16 di sini hari ini.
Sebuah portal sebelum ini melaporkan, Mahathir selaku Perdana Menteri akan melakukan rombakan Kabinet bulan depan kerana tidak berpuas hati dengan prestasi beberapa menteri kerajaan PH.
Portal itu mendakwa nama Maszlee dan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Harun antara bakal digugurkan.
Menurutnya, ketika mengadakan perbincangan bersama Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad baru-baru ini, beliau diminta agar merombak kokurikulum pelajaran.
“Beliau minta saya rombak kokurikulum dan bukannya pasal Kabinet. Takkan perkara yang memerlukan komitmen empat tahun, hendak rombakan Kabinet pula,” katanya. – MYNEWSHUB.TV