TELUK INTAN — Satu mayat ditemukan rentung dipercayai dibunuh di dalam sebuah kereta di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Bajar dekat sini pagi ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, SAC Yahya Abd Rahman berkata polis menerima maklumat mengenai penemuan itu daripada seorang lelaki yang melalui kawasan berkenaan pada pukul 8.45 pagi.
Yahya berkata sebaik pihak polis tiba di lokasi kejadian mendapati mayat berkenaan berada di tempat duduk penumpang hadapan di sebelah kiri dalam keadaan hangus terbakar keseluruhan.
“Mayat itu ditemui dalam keadaan rentung dan identiti serta jantina mangsa masih belum dikenal pasti termasuk jenis kenderaan itu berikutan keadaannya yang hangus.
“Polis percaya mangsa dibawa dari tempat lain dan dibakar di lokasi kejadian,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Perasmian Balai Polis Segari dekat sini, hari ini.
Yahya berkata siasatan lanjut sedang diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – BERNAMA