MELAKA – Kerajaan negeri Melaka sedang berusaha mengukuhkan hubungan kerjasama sektor pelancongan dengan Indonesia, antara lain bagi mempromosi negeri itu sempena Tahun Melawat Melaka 2019.
Menteri Melaka, Adly Zahari berkata program seperti Pertukaran Pegawai Penerangan Indonesia dan Kelompok Informasi Masyarakat Indonesia mampu memainkan peranan untuk memperkenalkan Melaka di negara itu dan dapat digunakan sebaiknya kerajaan negeri untuk menggiatkan lagi promosi lokasi menarik di Melaka.
“Kita akan mengambil kesempatan untuk membawa mereka mengunjungi lokasi tarikan pelancong sama ada di luar bandar dan sekitar Bandar Melaka agar mereka mendapat gambaran jelas bagi membantu meningkatkan jumlah pelancong ke sini,” katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat lima delegasi program itu di pejabatnya di Seri Negeri, Ayer Keroh hari ini.
Beliau berkata selain medium untuk mempromosi Melaka, program yang berlangsung dari 27 hingga 29 Nov itu juga mampu menjadi medium untuk para petugas bertukar-tukar maklumat dan pandangan bagi melaksana kerja dengan lebih berkesan.
Menurutnya Melaka menerima kedatangan 16.79 juta pelancong tahun lepas dan menyasarkan kunjungan 17 juta pelancong tahun ini. – BERNAMA