TEGAS… MIC kutuk sekeras-kerasnya tindakan ganas perusuh biadab serang pasukan bomba ketika mereka bertugas dekat perkarangan Kuil Sri Mahamariaman Seafield, Subang Jaya awal pagi tadi.
Presiden MIC, Tan Sri S. Vigneswaran dalam satu kenyataan bersama timbalannya Datuk Seri S. Saravanan dan Naib Presiden Datuk C. Sivarraajh menyifatkan tindakan melulu tersebut sebagai patut dikutuk oleh semua orang.
āKami berharap pihak polis ambil tindakan sewajarnya dalam masa terdekat terhadap mereka yang didapati bersalah sengaja ganggu penjawat awam dalam melaksanakan tugas mereka terutama petugas bomba.
āKami juga berpandangan bahawa polis perlu diberi secukupnya bagi siasat dan selesaikan isu ini. Tindakan terus tunding jari dan menyalahkan sesiapa tidak beri sebarang manfaat kepada sesiapa pun,ā kata Vigneswaran.
Terdahulu, mereka bertiga meluangkan masa dengan melawat anggota bomba diserang perusuh itu,Ā Muhammad Adib Mohd Kassim yang sedang bertarung nyawa di Unit Rawatan Rapi (ICU) Pusat Perubatan Subang Jaya.
Dalam lawatan tersebut, turut berada di hospital swasta berkenaan ialah Ketua Polis Negara, Tan Sri Fuzi Harun dan Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Mohammad Hamdan Wahid.
Semalam tiga ‘orang kuat’ MIC itu turut ke kuil bertemu pihak pengurusan bagi dapat maklumat dan gambaran berhubung kejadian rusuhan yang setakat ini telah menyaksikan 21 orang ditahan manakala 23 kenderaan dibakar.
Kenyataan JBPM memaklumkan Muhammad Adib yang dirawat di ICU kini hanya bergantung sistem sokongan hayat selepas cedera teruk di bahagian dada dan perut, tulang rusuk patah yang jejas paru-paru serta pernafasan.
Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Amiruddin Saari berkata, pihak kerajaan negeri bersetuju akan menanggung segala kos perubatan Muhammad Adib sehingga mangsa disahkan sembuh sepenuhnya. – Agensi/Mynewshub.TV