KUALA LUMPUR – Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu yang mengadakan lawatan kerja ke Bali, Indonesia selama dua hari bermula hari ini akan mempengerusikan mesyuarat ke-41 Jawatankuasa Am Sempadan Malaysia-Indonesia yang dijadualkan esok.
Dalam satu kenyataan di sini, Kementerian Pertahanan berkata Mohamad buat julung kalinya akan mempengerusikan mesyuarat itu bersama-sama rakan sejawatan dari Indonesia, Ryamizard Ryacudu.
“Jawatankuasa Am Sempadan Malaysia-Indonesia merupakan mesyuarat dua hala yang diadakan setiap tahun secara bergilir-gilir antara kedua-dua negara.
“Jawatankuasa ini bertanggungjawab dalam memantau serta mentadbir kerjasama persempadanan di samping memastikan kestabilan di kawasan Malaysia dan Indonesia sentiasa terkawal,” demikian menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, mesyuarat berkenaan antara lain akan dengar laporan berhubung kegiatan dilaksanakan dan kemajuan bersama yang telah dicapai sejak mesyuarat ke-40 yang diadakan di Kuala Lumpur pada 28 September 2017.
“Di samping itu, kedua-dua menteri pertahanan dijangka membincangkan secara khusus usaha-usaha ke arah meningkatkan tahap keselamatan di kawasan sempadan yang akan menjurus kepada peningkatan tahap sosioekonomi dan membaiki taraf hidup demi kesejahteraan rakyat di sempadan kedua-dua negara,” kata kenyataan itu.
Dalam lawatan kerja kali ini Mohamad diiringi Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Halimi Abdul Manaf dan Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara Engku Hamzah Tuan Mat. – BERNAMA