KUALA LUMPUR – Muhammad Adib Mohd Kassim, anggota bomba yang cedera parah dalam insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, menunjukkan tanda-tanda sedar dan bertindak balas kepada beberapa arahan lisan selepas dirawat di Institut Jantung Negara (IJN) di sini.
Dalam perkembangan terkini mengenai keadaannya, IJN berkata anggota bomba berusia 24 tahun itu masih di bawah pemantauan rapi penggunaan sedatif untuk membolehkan organnya pulih.
“Muhammad Adib terus menunjukkan tanda-tanda beransur baik. Dia kurang bergantung kepada ubat untuk jantungnya, setting oksigen untuk mesin ECMO telah dikurangkan tetapi dia masih memerlukan bantuan penuh untuk buah pinggangnya berfungsi. Dia kini dalam keadaan “medically-induced comatose,” kata IJN dalam satu kenyataan.
Ketika membuat rumusan mengenai keadaannya, IJN berkata anggota bomba itu masih kritikal tetapi stabil dengan tanda-tanda keadaannya beransur baik.
Ahli fisioterapi IJN hari ini memulakan kaedah sokongan fisioterapi pasif sebagai sebahagian daripada pemulihan kardiopulmonari Muhammad Adib.
Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun awal hari ini berkata Muhammad Adib memang diserang dan bukan dilanggar jentera bomba yang sedang mengundur dalam insiden rusuhan di kuil tersebut di USJ 25, Putra Heights pada awal Selasa. – BERNAMA