YANGON – Pihak berkuasa Myanmar mempertahankan Aung San Suu Kyi semalam selepas Amnesty International melucutkan anugerah berprestij diberi kepada pemimpin itu berhubung sikap tidak peduli beliau terhadap kekejaman ke atas Muslim Rohingya.
Reputasi antarabangsa Suu Kyi sebagai ikon hak asasi kini berkecai dan tindakan Amnesty adalah yang terbaharu dalam rentetan penghargaan dibatalkan.
Kanada membatalkan kerakyatan kehormat bulan lalu manakala Holocaust Museum Amerika Syarikat (AS) pada Mac lalu menarik balik anugerah yang dinamakan sempena mangsa kem dera terselamat Elie Wiesel.
Institusi yang satu ketika dulu memberi anugerah kepada Suu Kyi menjarakkan dirinya daripada pemimpin itu, dikatakan mereka hanya melakukan sedikit terhadap dakwaan genosid dan pembersihan etnik dihadapi etnik minoriti Rohingya.
‘Anugerah Duta Hati Nurani’ oleh Amnesty diberi pada 2009 dan penerima lain termasuk Nelson Mandela, Malala Yousafzai dan Ai Wei Wei.
Namun di Myanmar, Suu Kyi kekal popular di seluruh negara dan dalam partinya, Liga Demokrasi Nasional (NLD), yang memenangi pilihan raya pada 2015 sekali gus menamatkan berdekad pemerintahan tentera.
Pelucutan anugerah bukan hanya menjejaskan ‘maruah’ Suu Kyi, namun kesemua anggota NLD, kata jurucakap parti, Myo Nyunt kepada AFP, menambah beliau beranggapan ini adalah sebahagian konspirasi meluas.
“Semua organisasi bekerja untuk Bengali (Rohingya) yang meninggalkan negara ini bagi mendapat kerakyatan,” katanya merujuk panggilan tempatan untuk Rohingya dan secara salah mengatakan mereka adalah pendatang haram dari Bangladesh.
Timbalan Menteri Penerangan, Aung Hla Tun berkata, beliau secara peribadi sedih dan kecewa terhadap pengumuman Amnesty dan berkata, Suu Kyi dilayan ‘tidak adil.’
“Tindakan itu hanya menjadikan rakyat lebih menyayangi beliau,” tambahnya.
Penduduk di bandar ini mempertahankan Suu Kyi.
“Pelucutan itu agak kebudak-budakan. Ia seperti apabila anak anda bergaduh dan mengambil semula permainan mereka,” kata Khin Maung Aye, 50-an.
Kita tidak perlukan anugerah mereka,” kata Htay Htay, 60-an.
Suu Kyi bagaimanapun belum mengulas keputusan Amnesty namun pada masa lalu enggan menjawab soalan mengenai anugerah yang ditarik balik.
Gesaan membatalkan Anugerah Nobel Keamanan diperolehnya pada 1991 ditolak jawatankuasa yang mengawasinya. – AFP/BH ONLINE