KUALA LUMPUR – Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming menafikan dakwaan wujudnya konspirasi untuk menjatuhkan kepimpinan Menteri Besar negeri itu Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Nga menyifatkan dakwaan yang dibuat UMNO Perak itu berniat jahat dan menyatakan bahawa kesemua 31 Anggota Dewan Undangan (ADUN) Pakatan Harapan (PH) Perak akan memberi sokongan penuh kepada kepimpinan Ahmad Faizal.
“Fokus kami adalah untuk membentangkan bajet esok untuk meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat dan juga menjaga serta membela kebajikan rakyat tanpa mengira kaum dan agama,” katanya kepada pemberita di Lobi Parlimen di sini, hari ini.
Sehubungan itu, Nga mahu wakil rakyat Barisan Nasional (BN) dan UMNO menghentikan fitnah dan berita palsu terbabit.
“Ini bukan kali pertama, pada sidang dulu pun ketua pembangkang BN telah membuat ramalan ini, ia adalah taktik kotor, dakwa kerajaan negeri Perak akan jatuh, sekarang mereka ulangi tindakan terdesak ini. Ini budaya politik mereka,” katanya.
Sebelum ini media melaporkan dakwaan UMNO Perak kononnya wujud gerakan yang serius untuk menjatuhkan Ahmad Faizal oleh beberapa exco kerajaan negeri menerusi usul undi tidak percaya di Dewan Undangan Negeri (DUN). – BERNAMA