KOTA KINABALU – Sempena sambutan ulang tahun Yang Dipertua Sabah, Tun Juhar Mahiruddin ke-65, Jabatan Muzium Sabah mengadakan dua segmen pameran khas iaitu ‘Dirgahayu Tuan Yang Terutama’ dan ‘Muzik Retro Sabah era 60an dan 70an’ berlangsung di muzium itu bermula hari ini.
Pameran yang akan berlangsung sehingga Februari tahun hadapan itu dirasmikan oleh Tun Juhar dan turut dihadiri isterinya Toh Puan Norlidah R.M Jasni.
Ketibaan beliau bersama isteri di muzium itu disambut Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan isteri Datin Seri Shuryani serta Timbalan Ketua Menteri Datuk Jaujan Sambakong.
Objektif pameran itu adalah untuk memaparkan kepada masyarakat mengenai fungsi, peranan serta aktiviti sosial kemasyarakatan Tun Juhar sebagai payung perpaduan dan kesejahteraan rakyat.
Manakala pameran muzik era 1960an dan 1970an itu bagi mengetengahkan aktiviti penggiat seni muzik tempatan selain mempamerkan pelbagai jenis alat muzik klasik.
Orang ramai yang berminat menyaksikan pameran itu boleh membeli tiket masuk di kaunter muzium dengan harga RM15 bagi pelancong asing dan RM2 untuk pelawat tempatan.
Muzium dibuka setiap hari bermula 9.00 pagi hingga 5.00 petang. – BERNAMA