KUALA LUMPUR – Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengingatkan setiap kementerian supaya memastikan semua peruntukan yang diterima dalam Belanjawan 2019 sampai kepada golongan sasaran.
Sehubungan itu, beliau meminta menteri-menteri berkenaan supaya memantau peruntukan itu agar setiap program yang direncana dapat dilaksanakan dengan efisien dan bertanggungjawab tanpa sebarang ketirisan bagi memastikan golongan sasar terutama rakyat dalam kumpulan berpendapatan B40 dan M40 benar-benar mendapat manfaat.
“Bajet ini juga meletakkan urus tadbir sebagai satu tonggak penting selaras dengan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-Sebelas (RMK11) yang kita bahas dan luluskan dalam Dewan Rakyat.
“Ini kerana, urus tadbir itu dapat memberi jaminan keyakinan kepada pelabur asing dan domestik untuk kembali meletakkan pelaburan dalam negara, sekali gus mencipta peluang kerja dan mencipta nilai dalam pelaburan,” katanya selepas pembentangan Belanjawan 2019 oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng di Dewan Rakyat hari ini.
Bertemakan ‘Malaysia Wibawa, Ekonomi Dinamik, Rakyat Sejahtera’, Belanjawan 2019 menyedia peruntukan berjumlah RM314.5 bilion iaitu RM259.8 bilion bagi perbelanjaan mengurus dan RM54.7 bilion untuk perbelanjaan pembangunan.
Sementara itu, Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata belanjawan yang memberi perhatian istimewa kepada kumpulan sasar kurang berkemampuan diyakini dapat mengurangkan beban sara hidup rakyat, sekali gus meningkatkan ekonomi mereka.
“Walaupun situasi ekonomi tidak baik, Kementerian Kewangan berjaya membentangkan belanjawan yang mengambil kira semua aspek daripada segi pembangunan ekonomi dan dengan tawaran yang boleh mengurangkan beban sebahagian besar rakyat yang masih berada di bawah B40,” katanya.
Sementara itu, Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata peruntukan terbesar Belanjawan 2019 kepada kementerian itu menunjukkan komitmen tinggi kerajaan terhadap bidang pendidikan.
“Kita berada dalam landasan yang betul. Walaupun kerajaan dalam usaha berjimat cermat, tetapi pendidikan tidak dikompromi. Ini permulaan yang baik untuk masa depan lebih cerah…fokus kami ialah meningkatkan pendidikan itu sendiri,” katanya.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pula berkata subsidi bersasar dan pelbagai bantuan sara hidup yang diumumkan dalam Belanjawan 2019 amat melegakan dan diyakini dapat menaikkan taraf hidup golongan berpendapatan rendah. – BERNAMA