COLOMBO – Mahkamah Agung Sri Lanka semalam menolak pembubaran Parlimen oleh Presiden Maithripala Sirisena dalam satu tindakan besar-besaran menyokong Perdana Menteri disingkir Ranil Wickremesinghe mendapatkan semula jawatannya daripada seteru utama.
Mahkamah yang dikawal ketat itu juga menghentikan persediaan menghadapi pilihan raya awal dalam perjuangan perebutan kuasa terbaharu yang bermula apabila Sirisena menyingkirkan Wickremesinghe 26 Oktober lalu dan menggantikan beliau dengan bekas Presiden Mahinda Rajapaksa.
Speaker Parlimen Karu Jayasuriya mengumumkan, Parlimen dengan 225 anggota itu akan bersidang hari ini, memberi laluan bagi memutuskan pemimpin mana satu layak memegang jawatan itu.
“Parliamen kini perlu melaksanakan tugasnya dengan membenarkan wakil rakyat dipilih mencapai penentuan kesahan kerajaan mereka,” kata Jayasuriya dalam satu kenyataan.
Di tengah kebimbangan meningkat antarabangsa, Wickremesinghe enggan menerima pemecatannya dan kekal di kediaman rasmi sementara Rajapaksa berusaha membangunkan pentadbiran selari.
Parti Bersatu Kebangsaan (UNP) milik Wickremesinghe adalah kumpulan tunggal terbesar dalam Parlimen. Beliau memberitahu media, pihaknya menjangka membuktikan majoriti sokongan.
“Saya akan pergi ke Parlimen esok (Rabu) dan akan menunjukkan kami adalah kerajaan sah di Sri Lanka,” kata Wickremesinghe di kediaman Temple Trees yang menjadi ibu pejabat pembangkang.
Wickremesinghe menyifatkan keputusan mahkamah ‘satu kejayan untuk rakyat dan kejayaan terhadap politik wajar di negara ini.’
Sementara itu, parti Rajapaksa berkata, mereka akan merayu kepada mahkamah tertinggi untuk menimbang semula keputusan dibuat semalam.
Anak lelaki bekas presiden itu menulis di Twitter untuk menafikan spekulasi dalam media sosial, bapanya merancang meletak jawatan bagi mengelak berdepan undian Parlimen.
“Khabar angin tersebar bahawa PM @PresRajapaksa meletak jawatan palsu. Kami akan hadir ke Parlimen esok (hari ini),” kata Namal Rajapaksa. – AFP/BH ONLINE