PAS buat ketetapan untuk sokong Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dalam pertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau pada Pilihan Raya Kecil (PRK) nanti.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan, berkata sokongan yang akan diberi oleh parti berkenaan kepada bekas Menteri Besar Negeri Sembilan tersebut sama ada berbentuk undi ataupun jentera kempen pilihan raya.
“Pihak kepimpinan PAS akan sedia menyokong Mohamad dalam usahanya untuk terus mempertahankan kerusi berkenaan sekiranya pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memutuskan bahawa PRK perlu diadakan.
“Kita akan beri sokongan sama ada dalam bentuk undi daripada ahli atau penyokong PAS di Rantau atau mungkin kalau UMNO amat perlukan jentera kempen, kita akan turunkan kelak,” katanya ketika dihubungi NSTP hari ini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu, berkata sokongan PAS juga akan diterjemahkan menerusi tindakan untuk tidak tanding di kerusi DUN berkenaan bagi memberi laluan kepada calon UMNO mewakili pembangkang.
“Pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 pada 9 Mei lalu pun, kita (PAS) putus tidak bertanding dan kerusi itu memang sejak sekian lama adalah kerusi tradisi Tok Mat (nama gelaran kepada Mohamad),” kata Takiyuddin.
Beliau mengulas keputusan Mahkamah Khas Pilihan Raya di Seremban semalam mengisytiharkan kemenangan Mohamad tanpa perlu bertanding di DUN Rantau pada hari penamaan calon 28 April adalah tidak sah dan terbatal.
Ia selepas Hakim Datuk Azimah Omar membenarkan petisyen difailkan calon PKR, Dr. Streram Sinnasamy pada 23 Mei lalu. Mohamad diisytiharkan menang selepas pencabar tunggalnya itu gagal menghantar kertas pencalonan.
Streram dilarang masuk ke pusat penamaan ekoran tiada pas SPR. Pakar bius itu kemudian memfailkan petisyen bagi mohon PRK di kerusi terbabit kerana dakwa penyandangnya tidak dipilih secara sah. – Agensi/Mynewshub.TV