JOHOR BAHRU – Kerajaan Johor mahu memastikan semua projek perumahan termasuk Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) dapat direalisasikan bukan hanya majlis pecah tanah semata-mata.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Pembangunan Luar Bandar, Dzulkefly Ahmad berkata perancangan teliti setiap projek yang akan dilaksanakan mengambil masa minimum enam bulan untuk diteliti sebelum mendapat kebenaran merancang.
“Kami meneliti setiap aspek termasuk isu pengambilalihan tanah sehinggalah untuk mendapatkan kebenaran merancang, barulah majlis pecah tanah akan dilakukan.
“Saya adalah ‘technical man’ dan saya tidak mahu sekadar majlis pecah tanah, kemudian projek tidak berjalan atau enam bulan kemudian baru projek bermula,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Ekspo Hartanah Malaysia (MAPEX) di sini hari ini.
Katanya, ketika ini kerajaan negeri sedang meneliti banyak projek bagi mendapatkan kebenaran merancang yang mengambil masa enam bulan hingga setahun disebabkan itu tiada sebarang majlis pecah tanah diadakan.
“Ramai netizen dan blogger pembangkang mengatakan Exco Perumahan tidur, tiada sebarang majlis pecah tanah sejak mengambil alih tampuk kerajaan negeri sehingga hari ini,” tambah beliau.
Dalam pada itu, beliau menyuarakan keyakinan bermula suku ketiga hingga penghujung tahun hadapan kerajaan negeri akan mengumumkan banyak projek pembinaan RMMJ.
Pihaknya menyasarkan untuk membina 20,000 unit RMMJ setahun bagi mencapai sasaran 100,000 unit dalam tempoh lima tahun akan datang, katanya.
Tambahnya, Dasar Perumahan Rakyat Johor kini sedang disemak semula bagi mencapaikan setiap sasaran yang ditetapkan. – BERNAMA