MACHANG – Seorang pekerja kedai dobi warga Thailand maut selepas kenderaan pacuan empat roda yang dinaikinya terbabit dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 51, Jalan Kota Bharu-Kuala Krai, Kampung Pek di sini, malam tadi.
Dalam kejadian jam 7 malam itu, Maroya Samad, 33, yang duduk di kerusi penumpang hadapan, maut di tempat kejadian akibat cedera parah.
Pemandu, Bruce Ooi Han Long, 18, cedera di tangan manakala pemandu Perodua Myvi dan Perodua Viva tidak cedera.
Ketua polis Daerah Machang, Deputi Superintendan Dzulkifli Ab Ghani, berkata ketika kejadian mangsa dalam perjalanan dari arah Kota Bharu menghala ke Kuala Krai.
Katanya, apabila tiba di tempat kejadian, pemandu kenderaan pacuan empat roda itu dikatakan cuba memotong kenderaan di depan sebelum bertembung dengan Perodua Viva dari arah bertentangan.
“Kenderaan pacuan empat roda itu kemudian bergesel dengan Perodua Myvi dari arah sama dan terbabas di kiri jalan menghala ke Kuala Krai.
“Berikutan itu, penumpang hadapan yang tersepit di tempat duduknya meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi.
Dzulkifli berkata, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Machang untuk bedah siasat.
“Siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya. – BH ONLINE
*Sekadar Video Hiasan..