PHNOM PENH – Bangladesh tidak menerima tawaran Kanada untuk menempatkan pendatang Rohingya termasuk wanita yang menjadi mangsa rogol di negara mereka sebaliknya negara Asia Selatan itu mahu meneruskan rancangan kontroversi menghantar semula semua pelarian itu ke negara asal.
Usaha mendapatkan komen kerajaan Bangladesh bagaimanapun tidak berjaya kerana jurucakap kementerian luar serta Pesuruhjaya Bantuan dan Penghantaran Pulang Pelarian enggan memberikan sebarang kenyataan.
Kanada menawarkan tempat terhad untuk menerima pelarian yang memerlukan termasuk mangsa keganasan seksual pada Mei lalu susulan lawatan Menteri Luar, Chrystia Freeland ke Bangladesh dan tawaran berkenaan masih terbuka.
“Freeland berkata Kanada bersedia berbincang beberapa kes dengan Bangladesh,” kata sumber terbabit dalam krisis Rohingya yang enggan dikenali berikutan sensitiviti isu berkenaan,
“Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina berkata pihaknya akan melihat perkara itu,” kata sumber itu lagi sambil menambah, perbincangan antara kedua negara masih berterusan dengan dibantu Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR).
Penyiasat hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) ke atas Myanmar pada Selasa lalu menggesa Bangladesh menghentikan rancangan menghantar pulang ratusan pelarian Rohingya ke wilayah Rakhine bulan ini dan memberi amaran, mereka berdepan risiko tinggi untuk dihukum.
Beberapa agensi PBB berkata, lebih daripada 700,000 penduduk etnik Islam Rohingya melarikan diri ke Bangladesh dari Myanmar berikutan operasi besar-besaran pihak tentera sejak Ogos 2017.
Pakar khusus melindungi pelarian Rohingya berkata, wanita etnik itu yang menjadi mangsa rogol dan berdepan trauma, sesetengahnya dipinggirkan selepas melahirkan anak akibat diperkosa akan menerima manfaat besar dalam program penempatan semula di Kanada.
“Ia adalah satu perkara demi kemanusiaan,” kata Laetitia van den Assum, bekas diplomat Belanda yang kini berkhidmat di panel antarabangsa khusus menangani krisis kemanusiaan di wilayah Rakhine diketuai bekas Setiausaha Agung PBB, Kofi Annan. – Reuters/BH ONLINE