KUANTAN – Seorang pemandu pacuan empat roda cedera selepas kenderaan dinaikinya bergesel dengan sebuah lori sebelum melanggar sebuah bas ekspres di Kilometer 116, Jalan Kuala Lumpur-Kuantan, di Temerloh, dekat sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Temerloh, ACP Zundin Mahmood berkata, dalam kemalangan jam 6.45 pagi itu, pemandu pacuan empat roda berkenaan, Abdul Aziz Abu Bakar, 25,, seorang pekerja am, cedera di kepala, tangan dan kaki dan dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh, untuk rawatan.
Beliau berkata mangsa dari arah Kuala Lumpur ke Kuantan dipercayai memasuki laluan bertentangan menyebabkannya bergesel dengan lori sebelum melanggar bas yang berada di belakang lori berkenaan.
Bagaimanapun, beliau berkata, pemandu lori dan bas serta dua penumpang bas yang dalam perjalanan dari Kota Bharu, Kelantan, ke Temerloh, tidak cedera.
“Kemalangan menyebabkan kenderaan itu remuk teruk pada bahagian hadapan sebelah kanan, manakala bahagian hadapan bas kemek dan tayar kanannya pecah,” katanya semasa dihubungi.
Menurutnya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – BERNAMA