JELI – Pemasangan lampu bercahaya biru di beberapa tempat di daerah ini dilihat berjaya menghindarkan kes pencerobohan gajah liar ke kebun dan penempatan penduduk kampung.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan, Mohd Hasdi Hussin berkata, pemasangan lampu ‘kelip-kelip’ bercahaya itu adalah antara alternatif jabatan dalam usaha menghindarkan gajah memasuki kawasan kampung dan kebun milik penduduk.
Beliau berkata sebelum ini jabatan turut memasang pagar elektrik bagi tujuan sama namun kosnya agak tinggi berbanding pemasangan lampu bercahaya ini.
“Sebenarnya kejadian gajah menceroboh telah mendorong pihak berkuasa memasang ‘lampu biru’ bagi menghalang binatang itu dari terus memasuki kawasan mereka.
“Lampu biru itu dipasang oleh renjer dari Perhilitan Kelantan di tiga daerah konflik gajah di negeri ini iaitu Jeli, Gua Musang dan Kuala Krai,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Katanya lampu ini dipasang secara berperingkat sejak tahun lalu di mana kos setiap lampu hanyalah RM50 bagi seunit dan antara kampung yang terlibat dalam pemasangan lampu biru itu termasuk Aring 5 dan Meranto (Gua Musang), Dabong dan Cabang Gemas (Kuala Krai) dan Kampung Lalat dan Batu Melintang (Jeli).
“Ketiga-tiga daerah ini dikenalpasti sebagai kawasan konflik gajah kerana banyak aduan gajah mengamuk dan memasuki kampung berlaku di daerah ini dan bagi memastikan kejadian ini tidak berulang dan untuk keselamatan penduduk kampung, Jabatan Perhilitan Kelantan mengambil langkah memasang lampu biru ini bertujuan menyilaukan mata gajah supaya binatang buas itu tidak menceroboh kebun dan kampung,” katanya.
Beliau berkata sehingga kini, sebanyak 57 unit lampu biru dipasang di tiga daerah konflik gajah, dan dengan pemasangan lampu biru ini, jabatan berjaya mengurangkan insiden gajah memasuki perkampungan.
Mohd Hasdi berkata gajah yang terkena cahaya lampu biru itu kebiasaannya akan masuk semula ke hutan simpan berhampiran kampung.
Menurutnya sebelum ini Kerajaan Pusat memperuntukkan kira-kira RM1.8 juta untuk membina pagar elektrik sepanjang 24.5km di daerah Jeli sahaja sejak tahun 2008,” katanya.
Dalam perkembangan sama, jelasnya sejak awal tahun ini, sebanyak 93 aduan gajah memasuki kawasan kampung dan memusnahkan tanaman direkodkan di seluruh Kelantan tahun ini dan dalam tempoh yang sama, sebanyak enam ekor gajah berjaya ditangkap iaitu sebanyak lima ekor ditangkap di Jeli manakala seekor lagi di Gua Musang,” katanya. – BERNAMA