MIAMI, Florida – Seorang warga Texas ditangkap selepas mengiklankan secara online keinginannya untuk melakukan nekrofilia dan kanibalisme bersama remaja perempuan.
Alexander Barter, 21, diberkas selepas anggota polis yang menyamar sebagai seorang bapa yang bersedia menawarkan anak perempuannya, menerima tawaran iklan di laman web gelap itu, kata polis di Florida kelmarin.
“Ini merupakan kes paling luar biasa dan paling menjijikkan yang pernah saya lihat,” kata Syerif Daerah Brevard di Florida, Wayne Ivey pada satu sidang akhbar.
Siasatan dilakukan selepas seorang anggota polis Daerah Brevard melihat iklan pelik itu di internet.
Anggota polis berkenaan menghubungi Barter dan menyamar sebagai seorang lelaki jahat yang sanggup menawarkan anak perempuannya bagi tujuan tersebut.
“Saya bukan berlakon. Saya benar-benar mahu merogol, membunuh dan memakan anak perempuan kamu,” kata Barter dalam amarannya ketika menerima tawaran anggota polis itu.
Anggota polis itu melakukan perjalanan ke Texas untuk menemui Barter. Suspek tidak melawan apabila dia ditangkap.
Pemuda itu berdepan beberapa tuduhan termasuk mengiklankan jenayah dan berkomplot untuk membunuh. Dia boleh dipenjara seumur hidup jika didapati bersalah. – AFP/KOSMO ONLINE