KUANTAN – Mahkamah Majistret di sini hari ini memerintahkan seorang pemungut sampah dihukum penjara setahun selepas mengaku salah mencuri motosikal bagi menjelaskan kos pembedahan isterinya.
Majistret Nor Azizah Aling memerintahkan Raja Saddam Shah Raja Hamkar, 27, dari Felda Bukit Kuantan, menjalani hukuman itu bermula dari tarikh dia ditangkap iaitu 6 Okt lalu.
Tertuduh didakwa mencuri motosikal Honda EX5 milik Zul Zaidde Ngamera, 32, antara 9 hingga 9.50 malam, 1 Okt lalu di Kampung Seri Mahkota Batu 12 di sini.
Bagi kesalahan itu, tertuduh yang bertubuh kecil itu didakwa mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Dalam rayuannya, tertuduh yang tidak diwakili peguam sebak menceritakan kesalahan itu dilakukan kerana dirinya terdesak untuk mendapatkan wang ekoran isterinya sakit.
“Saya hanya kerja mengutip sampah dengan gaji sekitar RM800 yang digunakan untuk menanggung tujuh orang anggota keluarga. Saya berjanji tidak akan melakukan kesalahan sama.
“Saya benar-benar minta hukuman diringankan kerana waktu itu saya belum gaji… isteri saya baru habis pembedahan dan saya tiada duit untuk bayar,” katanya.
Nor Azizah dalam penghakimannya menasihatkan tertuduh untuk tidak melakukan kesalahan sama kerana apa yang salah tetap salah dan tidak boleh dilakukan atas apa juga alasan.
“Dalam kehidupan ini, kita kena sedar bahawa bukan semuanya senang, akan ada tekanan dan liku yang perlu dilalui. Betul kamu dalam kesusahan tapi itu bukan caranya.
“Kamu sudah ada isteri dan anak. Kamu perlu sedar bahawa harta orang adalah milik orang, haknya sudah jelas. Saya harap kamu tidak ulangi kesilapan dan hukuman ini adalah hukuman paling minimum yang boleh saya jatuhkan,” katanya.
Raja Saddam Shah yang tunduk mendengar nasihat itu dilihat mengangguk kepala dan sempat mengucapkan terima kasih kepada mahkamah selepas hukuman dijatuhkan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Shahrizzat Amadan. – BERNAMA