TAWAU – Golongan pencari kerja di Sabah dinasihatkan agar tidak memilih pekerjaan dalam keadaan ekonomi tidak menentu sekarang.
Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Christina Liew berkata golongan itu juga perlu membuang rasa malu untuk memulakan pekerjaan dalam pelbagai bidang dari peringkat bawah.
“Tidak perlu malu untuk bermula dari bawah tetapi ambil dan rebutlah sebarang peluang pekerjaan yang dapat memberikan pengalaman dan ilmu berterusan selain menambah pendapatan,” katanya pada program ‘job fair’ dan taklimat keusahawanan 2018 di sini, hari ini.
Program itu dianjurkan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Tawau bersama Jabatan Tenaga Kerja Sabah dengan penglibatan 14 majikan yang menawarkan lebih 500 kekosangan jawatan dalam pelbagai sektor.
Dalam pada itu, Liew berkata program pencarian pekerjaan membantu kerajaan negeri untuk mengoptimumkan sumber manusia untuk pekerjaan di Sabah.
“Objektif program ini bukan sahaja membantu pencari kerja tetapi secara situasi menang-menang, turut membantu majikan mendapatkan tenaga kerja yang berkelayakan bagi keperluan perusahaan dan industri,” katanya lagi.
Beliau turut berharap kerjasama penganjuran program itu dapat diteruskan sekali gus rakyat menerima impak positif melalui perancangan yang dilaksanakan kerajaan. – BERNAMA