GUA MUSANG – Hujan lebat yang merosakkan perhubungan darat di Kampung Piyel, Pos Bihai di sini memaksa Jabatan Kamajuan Orang Asli (JKOA) mendapatkan bantuan Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bagi membawa seorang budak kampung itu ke hospital.
Arsenal Helimi, 10, terpaksa mendapatkan bantuan ihsan unit udara JBPM untuk dikejarkan ke Hospital Gua Musang (HGM) apabila paha kanannya patah apabila terjatuh dari pokok rambutan.
Pegawai Perhubungan Awam, Pangkalan Udara Subang, Penolong Penguasa Bomba, Muhammad Farhan Marzuki berkata, penerbangan ihsan menggunakan helikopter Agusta AW139 berlepas dari Pangkalan Udara Bertam, Pulau Pinang jam 11.45 pagi.
Beliau berkata, helikopter terbabit mendarat di Kampung Piyel untuk mengambil pesakit itu kira-kira pukul 12.15 tengah hari sebelum mendarat di perkarangan Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang kira-kira hampir sejam selepas itu.
“Kemudian Arsenal dikejar pula ke HGM menggunakan ambulan bomba dan keadaan pesakit itu dalam keadaan stabil,” katanya ketika dihubungi.
Muhammad Farhan berkata, pihaknya menerima permohonan penerbangan ihsan daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Gombak pada pukul 10 pagi kerana pesakit yang terjatuh dari pokok rambutan itu tidak boleh berjalan.
Katanya, berdasarkan maklumat budak lelaki itu terjatuh dari pokok rambutan yang dipanjat berhampiran rumahnya jam 9 pada pagi dengan ketinggian 3.5 meter dan terbaring kerana patah paha kanan.
Beliau berkata, penerbangan ihsan itu diketuai Juruterbang, Kapten Leong Cheong Meng dan dibantu penolong juruterbang, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Zulhairee Zabidi. – BERNAMA