Sunday, November 24, 2024

Creating liberating content

2 Beradik Lemas Tragedi...

JOHOR BAHARU - Dua beradik lemas manakala nenek dan bapa saudara mereka masih...

Jumlah Pengundi Cecah 22.5...

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangkakan pendaftaran automatik sebagai pengundi untuk rakyat...

Johor Akan Umum Skim...

JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri dijangka memperkenalkan program bantuan yang bukan sahaja menyasarkan kumpulan...

Harga Petrol RON97, RON95,...

KUALA LUMPUR: Harga runcit petrol RON97, RON95 dan diesel, masing-masing kekal bagi tempoh...

Pengalaman Tempur Komunis Hampir Ragut Nyawa

MELAKA – Pengalaman bertempur dengan komunis di Sungai Siput, Perak pada 1983 antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan Koperal Jumaat Zul Che Tak kerana tragedi berkenaan hampir meragut nyawanya apabila terkena jerangkap samar yang dipasang musuh.

Jumaat Zul, 63, dari Rasah, Negeri Sembilan, berkata dalam kejadian itu, beliau mengalami kecederaan parah pada bahagian kaki kanandan tulang belakang sehingga terpaksa tinggal di dua hospital hampir empat tahun untuk rawatan selain menjalani beberapa pembedahan.

“Peristiwa berkenaan hingga sekarang masih segar dalam ingatan pakcik. Tarikh 13 Mac 1983 tidak akan dapat dilupakan… bagaimana kami bertempur dengan komunis dalam operasi itu sebelum terkena jerangkap samar yang dipasang mereka. Kejadian itu turut mengubah nasib pakcik apabila mengalami kecederaan parah di lutut dan tapak kaki kanan selain tulang belakang.

“Tiga tahun pakcik tinggal di Hospital Angkatan Tentera Kem Kinrara sebelum dipindahkan ke Hospital Besar Ipoh dan perlu tinggal di sana selama setahun lagi,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Selaut Kasih Segunung Penghargaan peringkat 3 Divisyen bersempena Ulang Tahun Ke-85 Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Kem Terendak, Sungai Udang, di sini, hari ini.

Pada majlis itu, sebanyak 78 anggota dan pesara tentera dari Melaka dan Negeri Sembilan yang cedera semasa melaksanakan operasi atau latihan menerima sumbangan wang tunai sebagai tanda penghargaan dan keprihatinan ATM yang disampaikan Panglima 3 Divisyen Mejar Jeneral Datuk Mohammad Ab Rahman.

Pesara tentera dari pasukan Rejimen 508 Askar Wataniah Kem Jalan Rasah, Negeri Sembilan itu berkata beliau bagaimanapun bersyukur kerana walaupun kaki kanannya cedera parah dalam pertempuran tersebut, namun ia dapat diselamatkan daripada dipotong.

“Selalunya kalau anggota tentera yang terkena jerangkap samar dalam operasi, kaki mereka terpaksa dipotong namun Alhamdulillah kaki kanan ini dapat diselamatkan. Walaupun tidak sempurna seperti orang lain tetapi ini lebih baik,” kata bapa kepada lapan anak itu yang tamat perkhidmatan dalam tentera pada 2003.

Sementara itu, Koperal (B) Kasban Ab Rejab, 57, berkata tugas sebagai anggota tentera menuntut pengorbanan besar daripada pelbagai aspek termasuk terpaksa meninggalkan keluarga demi tanggungjawab kepada negara selain berdepan dengan pelbagai risiko ketika menjalankan tugas.


Beliau yang berkahwin pada Disember 1988, setahun kemudian terpaksa meninggalkan isteri Sabariah Mahmood yang kini berusia 54 tahun bagi mengikuti Misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Namibia pada Julai 1989.

Pesara tentera dari pasukan Rejimen 514 Askar Wataniah itu berkata beliau mengalami patah paha kanan ketika dia dan tiga lagi rakan sedang melakukan rondaan menggunakan kenderaan khas sebelum ia terbalik akibat terlanggar lubang besar.

“Kesedihan itu berganda apabila terpaksa meninggalkan isteri yang baru dinikahi selain mengalami kecederaan. Sehingga kini kaki kanan saya pendek berbanding kaki kiri,” kata bapa kepada enam anak itu yang tinggal di Pasir Puteh, Bachang di sini.

Dalam pada itu, Mohammad berkata ATM sentiasa memberi perhatian terhadap kebajikan anggota dan bekas tentera khususnya yang mengalami kecederaan ketika menjalankan tugas, operasi atau latihan agar nasib mereka terus dibela.

Beliau berkata sumbangan pelbagai bentuk termasuk kewangan, bantuan, sokongan moral, tenaga dan peralatan diberikan ATM untuk golongan berkenaan menerusi Jabatan Hal Ehwal Veteran dan Persatuan Bekas Tentera Malaysia di negeri masing-masing.

“Jasa dan bakti yang ditabur golongan ini kepada perkhidmatan, masyarakat dan negara tidak ternilai namun ATM sentiasa berusaha untuk membalasnya dalam pelbagai bentuk sumbangan sebagai tanda peringatan dan penghargaan,” katanya. – BERNAMA

Kategori