YALA – Dua penyerang bersenjata menembak mati seorang penggawa ketika beliau pulang dari menunaikan solat Jumaat di Kampung Kasang, Mukim Tanah Putih di daerah Benan Setar, Yala hari ini.
Dalam kejadian pada 1.40 tengah hari (waktu tempatan), mangsa Abdul Latif Yanya, 49, Penggawa Mukim Tanah Putih ditembak mati ketika tiba di hadapan rumah penduduk kampung untuk menghadiri majlis Maulidur Rasul. Majlis itu dianjurkan seorang penduduk kampung.
“Mangsa ditembak di bahagian kepala oleh penyerang yang bersenjatakan senapang AK47. Pihak berkuasa juga menemui lima kelongsong peluru di lokasi kejadian,” kata Ketua Bahagian Siasatan Balai Polis Benan Setar Kapt Nattavut Pechsatitrong hari ini.
Jarak antara masjid dengan lokasi kejadian pembunuhan itu adalah kira-kira 80 meter, katanya.
Menurut beliau, penyerang turut berbalas tembak dengan pasukan keselamatan ketika melarikan diri dari lokasi kejadian menggunakan motosikal sejurus selepas melakukan pembunuhan itu.
Bernama difahamkan seorang daripada penyerang tersebut telah ditembak mati oleh pasukan keselamatan dalam insiden berbalas tembak itu, manakala usaha memburu seorang lagi penyerang sedang giat dilakukan.
Setakat ini pihak berkuasa belum mengeluarkan sebarang kenyataan tentang insiden tembak-menembak itu. – BERNAMA