PUTRAJAYA – Penggubal dasar tidak sepatutnya gerun dengan penyelidikan, sebaliknya perlu memanfaatkan hasilnya untuk kebaikan masyarakat, kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Eddin Syazlee Shith.
“Kita perlu sedar bahawa penyelidikan bukan sahaja memberi maklumat kepada kita tentang perkara yang baik untuk masyarakat, tetapi juga menyatakan kepada kita apa yang kurang dan bidang mana yang perlu diperbaiki atau memerlukan pendekatan berbeza.
“Penyelidikan yang dirangka untuk mendapatkan maklumat tentang dasar dan amalan akan dapat menyokong dan menyumbang kepada pencapaian kesan yang diharapkan daripada sesuatu dasar,” katanya ketika merasmikan simposium penyelidikan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), di sini hari ini.
Bertemakan ‘Memaksimumkan Penyertaan Individu dan Masyarakat Dalam Ekonomi Digital Melalui Keterangkuman’, acara tahunan SKMM itu bertujuan untuk berkongsi hasil penyelidikan yang dibiayai melalui Program Kolaborasi Penyelidikan Media Berangkai (NMRCP) suruhanjaya itu serta kemajuan dan dapatannya.
Eddin Syazlee berkata berikutan kepelbagaian yang wujud dalam masyarakat Malaysia, keperluan anggotanya adalah berbeza dan kadangkala, penyelesaian bersifat khusus perlu dicari untuk menangani perkara melibatkan kelompok tertentu.
Sementara itu, Pengerusi SKMM, Al-Ishsal Ishak, yang turut menghadiri majlis itu, berkata NMRCP ditubuhkan pada 2008 bagi tujuan mewujudkan sebuah pusat sumber ilmu dan maklumat sebagai sokongan kepada suruhanjaya itu dengan menyalurkan maklumat tentang keberkesanan sesuatu dasar atau amalan kawal selia berkaitan persekitaran media baharu.
Katanya, sehingga kini, SKMM melibatkan diri dalam 21 kolaborasi penyelidikan dengan 11 universiti dan memberi geran berjumlah hampir RM3.2 juta. – BERNAMA